Friday, April 01, 2011

Maafkan saya mak

Pagi semalam saya ada bercanggah pendapat dengan mak saya tentang sesuatu perkara yang rumit. Percanggahan ini berlaku melalui perbualan telefon sahaja. Sehinggakan kedengaran sayu suara mak di telinga saya. Sampainya hati sayakan. Dan talian telefon terputus sendiri sebelum saya sempat memohon maaf akibat dari kehabisan kredit telefon saya. Kemudian saya tidak menelefon semula sehingga suami saya sampai di rumah petang itu walaupun saya boleh berbuat demikian.

Kebetulan pula suami saya kerja luar. Dia telah meninggalkan anak kedua saya di bawah jagaan emak selama empat hari ni. Jadi habis sahaja kursusnya tengahari tu dia akan mengambil anak saya semula untuk di bawa pulang ke Kuantan. Jadi saya kira emak mungkin tak akan melayan atau buat tak tau sahaja dengan suami saya kalau mereka datang. Malahan mungkin akan duduk di bilik sahaja sehingga suami saya balik.

Hakikatnya bukan itu yang berlaku. Malahan mak saya menyambut suami saya dengan senyum lebar. Malahan menjemput makan walaupun suami saya dah makan tadi di hotel. Barangan Naqib untuk balik ke Kuantan pun telah siap tersusun cantik di dalam bakul. Mainan untuk Naqib pun ada, bukan satu malahan lima mungkin. Dan saya kira mainan yang agak mahal juga.

Untuk saya, emak siap berkirimkan rendang itik kesukaan saya. Selain dia turut ada membelikan pisau untuk saya kerana katanya, pisau di rumah kami semuanya tumpul. Prihatinnya mak.

Apa yang saya dapat, rasa sesal yang tidak berkesudahan. Rasa bersalah yang teramat sangat. Rasa sedih yang tidak berketepian.

Ini kerana tiada rasa dendam langsung di hati emak untuk saya. Malahan kasihnya terhadap saya tidak pernah berubah. Malahan, walau saya begitu, dia masih ingat pada saya.

Malahan, apabila saya menelefon dia semula untuk memberitahu suami saya dah sampai di rumah, suaranya masih ceria. Seolah-olah tiada apa yang berlaku. Sucinya kasihmu emak. Sampai tak terpandang rendang yang emak bagi pada saya. Sedihnya saya. Mengapa saya begitu kejam sehingga sanggup melukakan hati tuanya.

Jika berlaku ke atas saya, mungkin saya masih belum boleh berbual dengan orang tersebut. Malahan mungkin mengambil masa untuk memujuk hati sendiri. Ketika menulis ni, berlinang air mata saya. Saya agak ganas tapi hati saya lembut. Mudah terasa.

Dengan rasa rendah hati dan kesal yang teramat, MAK MAAFKAN SAYA. Saya tahu saya dah berdosa kerana telah melukakan hati mak.

1 comment:

  1. sedih la kak siah baca entry akak ni...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...