Thursday, March 31, 2011

Kalau tak salah, buat apa nak kecoh

Apalah nak jadi dengan manusia ni. Kalau nak marah kat orang lain, janganlah libatkan orang lain. Sah-sah dapat merosakkan mood baik orang. Saya happy sebab suami saya balik hari ni, tetiba ada mangkuk dari mana tah sms mengarut. Mujurlah ada secebis kesabaran lagi. Kalau tak.....saya dah sumpah dia jadi almari buku (sebab almari buku saya dah nak runtuh, boleh jugak simpan buku dari jadi minah sengal).

Dia duk sms pasal orang lain yang dia marah. Tapi apsal bagitau saya. Saya tak berminatlah nak tau. Hidup ni terlalu singkat untuk dipeningkan dengan hal orang lain. Hal awak, awaklah selesaikan. Hal saya, saya selesaikan. Bukan nak pentingkan diri sendiri. Tapi kalau setakat nak marahkan orang yang bukan hal kita pun, buat apa.

Bagi saya satu jer, kalau kita tak salah buat apa nak kecoh. Diam bukan bererti kita kalah. Bising bukan bererti kita menang. Yang penting muhasabah diri dahulu. Jangan campuri urusan orang lain. Taulah mereka menanganinya.

Kita sebagai orang terdekat, lebih kepada pemerhati. Kalau perlu barulah bertindak. Itupun perlukan akal yang panjang sebelum bertindak. Terlajak feri langkawi boleh diundur. Terlajak kata, kau tanggunglah sendiri.

Hantu Kak Limah Balik Rumah vs Khurafat

Walaupun movie ni mungkin dah basi, tapi saya baru berpeluang menontonnya malam tadi. Dua-dua movie seram. Dua-dua ada ceritanya sendiri. Saya bukanlah peminat cerita seram, tapi layanlah jugak

Tapi secara keseluruhannya bila dah menonton, saya rasa cerita Hantu Kak Limah Balik Rumah lah paling best. Patutlah filem ni boleh box office. Kelakar gila. Walaupun ada unsur seram, sampaikan anak-anak saya setiap kali Kak Limahnya keluar mesti tutup muka dengan selimut. Takutlah tu. Tapi movie ni ni terbaik. Kelakar + seram.

Kalau movie HKLBR saya happy menontonnya, tapi khurafat amat menyeramkan. Saya tak berminat dengan cerita yang mendebarkan. Sampaikan kalau cerita yang ada hantu tetiba buka mata pun, saya tak suka. Inikan pula cerita begini yang banyak hantunya tetiba keluar. Kadang-kadang filem hantu kita pun dah terikut-ikut dimana hantunya keluar merangkak. Jadi kesimpulannya, movie ni saya tengok sikit-sikit jer. Bukan kerana takut, tapi tak taulah. Cerita begini bukan jiwa saya lah.
Sampaikan kalau ada cerita seram di TV3 pun saya tak tengok. Bagi saya semua tu merepek. Mungkin sebab rating cerita begini tinggi, jadi diperbanyakkanlah seram ni. Kadang-kadang sampai entah hapa-hapa dah. Patutlah ramai budak sekolah yang histeria sekarang ni. Banyak sangat hantu yang masuk rumah mereka (cerita tvlah).

Berbalik pada movie ni, keduanya hebat. Tapi pilihan saya mestilah HKLBR. 5 bintang saya bagi pada filem ni. Movie ni sebenarnya sambungan dari zombie kg pisang. Tapi cerita zombie kurang ngumph sikit.

Hidup tak selalu indah, hati tak selalu gelisah

Apa yang saya merepek ni. Nak jiwang lah pulak. Sejak dua-tiga hari suami saya tak de kat rumah, dah mula berjiwang karatlah pulak. Kalau dia ada, mood jiwang ni taklah datang. Sibuk kut.

Kadang-kadang okey jugak sesekali berjauhan. Barulah menguji tahap kasih sayang. Sebelum ni kalau graf tu asyik menurun jer, kali ni mungkin naik sikit. Kalau pergi lagi lama, lagi naiklah grafnya kut.

"Sayangkan anak, tangan-tangankan. Sayangkan isteri, tinggal-tinggalkan. "

Apa da punya falsafah. Kalau orang sekarang duk tangan-tangankan anak, ke balai polis lah kita jawabnya. Ini dah kes dera lah pulak. Tak pasal-pasal tidur lokap. Tak pun mesti kena kaunseling dengan jabatan agama atau seangkatan dengannya.
Takper hari ni Cik Abe donde dah balik. Bukan apa, setakat ini dialah rakan terbaik saya. Tempat meluahkan segalanya. Sampaikan hanya pada dia saya boleh berkongsi segalanya. Kalau dengan mak saya pun ada yang saya rasa tak boleh cerita.

Dia bukan sahaja suami, malahan kawan baik, pendengar terbaik, rakan sekerja saya.

Wednesday, March 30, 2011

Jangan sedih kalau keputusan SPM/periksa tak bagus

Minggu lepas saya berkesempatan menjadi penonton kepada adik-adik yang mengambil keputusan peperiksaan SPM dekat satu sekolah di daerah Kuantan. Sekolah ini digolongkan sebagai sekolah luar bandar. Jadi keputusannya taklah sebaik sekolah dibandar. Pencapaian terbaik pun hanya setakat 6A sahaja. Kata kaunselor yang saya jumpa, biasalah kalau keputusan sekolah luar bandar seperti itu. Dan prestasi sekolah juga tak ada peningkatan. Kalau ada pun hanya 0.8% sahaja peningkatan.

Tahun sebelumnya saya pernah pergi ke sekolah di bandar. Pencapaiannya tentulah hebat. Malahan ada pelajarnya yang mendapat 14A. Huh, hebat. Macam manalah mereka ni belajar. Saya agak, mereka ni rebus buku tu, lepas tu minum airnya. Tu yang boleh hafal semua. Tu yang boleh jawab semuanya. Atau tak de keje lain, hanya mengadap buku je 24 jam.

Tapi bila kita dengar balik apa yang mereka cemerlang ini buat sebelum menghadapi peperiksaan, sama seperti kita. Cuma mungkin jadual mereka lebih teratur. Masih sempat beriadah, menolong keluarga, berjalan-jalan, malahan yang paling penting sentiasa tidak lupa pada Allah. Mungkin mereka ini telah dianugerahkan oleh Allah akal yang terang, hati yang bersih.

Berbalik semula keadaan di sekolah tadi, macam-macam ragamlah adik-adik ni mengambil keputusan. Bila dah tengok result, muka mula ada yang bertukar jadi biru, merah, hitam, oren. Bagi yang cemerlang, menahan tangis kegembiraan. Bagi yang sederhana, menahan tangis gembira. Bagi yang cukup-cukup makan, menahan tangis kecewa. Bagi yang gagal, tak tahu sama ada nak menangis atau meraung atau buat tak tahu jer.

Yang cemerlang tu biasalah akan diraikan. Tapi bagi yang cukup makan dan gagal tu, kemana hala tuju mereka.Bagi saya, tak perlu terlalu kecewa. Mungkin kita dapat dibawah target kita. Yang dah berlalu, biarkan berlalu. Dah gagal, nak buat macam mana. Kalau menangis air mata darah pun, keputusan tu tetap begitu. Kalau terjun bangunan sekalipun, keputusan tu tetap tak berubah. Malahan makin dikutuk orang.

Berdasarkan keputusan kita tu, cuba kaji semula. Apa sebenarnya yang kita minat. Kita tak boleh mengikut orang lain. Si A ambil kelas sains, kita pun ambil kelas sains. Padahal matematik kita ke laut. Cari yang kita minat.

Sekarang banyak institusi pengajian tinggi yang menawarkan bidang kursus kemahiran. Sebab setiap orang itu berbeza. Ada yang boleh menghafal 20 buah buku berbeza. Ada yang kejadiannya lebih kepada kemahiran atau kerja tangan. Maksudnya, teori hancurlah. Tapi bab amali, dialah yang terhebat. Tak semestinya yang cemerlang itu, amalinya hebat. Renunglah.

Jadi sebab kita tak cemerlang, kita mula dari bawah. Kita ambil sijil atau diploma dahulu. Kemudian baru sambung ambil diploma atau ijazah. Lambat sedikit lah. Ada jugak kolej swasta yang bagus. Tapi kena cari. Pastikan MQA dan JPA iktiraf. Semaklah.

Jangan risau, ramai lagi orang lain yang gagal tapi berjaya. Ada rakan saya SPM dulu memang bungkus. Kemudian dapat kerje sebagai tukang kebun sekolah. Lepas tu dia nekad berhenti kerja. Ambil kursus kontraktor. Sekarang dia dah hebat. Dah jadi kontraktor kelas A.

Dengan syarat mesti berusaha dan tawakal. Pasti berjaya

Tuesday, March 29, 2011

Bahayanya pil perancang


Sebenarnya dalam banyak-banyak cara untuk merancang keluarga, makan pil lah yang paling senang. Dimana pil pun mudah nak dapat, harga boleh pilih ikut kesesuaian, boleh berhenti makan ikut suka, tidak menyakitkan. Selain itu juga boleh mengawal kitar haid kita.

Mak saya pernah mengalami dimana darah haidnya turun terlalu banyak. Sehingga perlu memakai dua tuala wanita sekaligus. Sehingga doktor menyarankan agar rahim mak saya dibuang. Menurut doktor, ini adalah kesan awal dari monopous. Tapi sebelum tu, doktor menyarankan agar mak saya cuba makan pil perncang dahulu. Mak saya duk gelaklah bila doktor minta dia makan pil. Macam orang muda pulak, katanya. Tapi alhamdulillah. Kesan dari pengambilan pil ini, kadar darah yang turun dapat dikawal. Jadi mak saya tidak perlu menjalani pembedahan untuk membuang rahim. Tau ajelah kesannya pembedahan tu ke atas orang  yang berumur seperti mak saya.

Sebenarnya dalam banyak kebaikan tu terlindung kesan makan pil ni dalam jangka masa panjang. Biasanya misi/nurse yang duk nasihat kita supaya merancang keluarga tu, kadang-kadang mereka sendiri tak makan pil. Ini kerana banyak kesan sampingan sebenarnya. Biasanya misi ni menggunakan IUD. Ibu mertua saya seorang misi pencen juga tidak menggalakkan saya atau sesiapa pun mengambil pil. Ini kerana ia akan mengganggu hubungan suami isteri. Kalau nak tau apa gangguannya, tanyalah pada yang pernah guna atau pakar.

Jadi ini saya dapat dari facebook. Dimana wanita ini telah mengalami pendarahan dalam kepala. Sekarang dia sedang dirawat di hospital. Menurut doktor, ia akibat dari pengambilan pil perancang. Terdapat darah beku di dalam kepalanya. Kesannya mengakibatkan daya ingatannya menjadi lemah. Sehingga sukar untuk mengenali orang disekelilingnya.



Sebenarnya kesan ni akan mengganggu keseluruhan hidupnya jika berkekalan. Termasuklah kerja, anak-anak. Saya doakan wanita ini agar cepat sembuh. Kesian sebab anak dia kecil lagi. 

Pergh terangkat......menu tengahari yang lengkap

Sesekali balik kampung tu, kami memang akan masak macam nak kenduri. Apa taknya, kalau seluruh isi rumah hampir mencapai 30 orang dalam satu masa. Kanak-kanak ribena jer dah ada 9 orang. Kalau semua balik kampung, rumah mak dah macam nursery. Sampai ada rakan saya ingat, anak saya berada di nursery semasa lihat gambar di facebook.
Biasanya kami adik beradik akan rancang bila akan balik. Jadi bila dah semua berkumpul tu, masak-memasak acara wajib lah.

Asam pedas kepala ikan merah + tenggiri + bendi + bunga kantan. Pergh.....sedap giler

Sayur campur

Masak kicap ikan tenggiri untuk kanak-kanak ribena
Bukan kanak-kanak ribena pun boleh makan
Ini jering yer.
Kalau makan, mak mertua lalu kat belakang pun tak nampak

Kundang siam.
Tapi tak sehangat kundang kampunglah.
Jeruk import dari Penang mari


Makan lemang cecah rendang ayam nyum..nyum...

Lemang pulut.....sedap, lembut, lemak berkrim disukai ramai

Dicecah dengan rendang ayam kampung....fuh lagilah terangkat.
Rasa laparlah pulak

Sebenarnya, saya beli jer ni. Lemang pun beli, rendang pun beli.
Tapi beli lemang kat kampung memang terangkat. Lain dari yang lain. Tak dapat di tempat lain. Kalau saya beli di Kuantan tak sesedap yang saya beli kat Kuala Pilah.
Rendang pun best, sebab asli rendang nogori. Tak de gula punya. Cukup pedas, cukup berlemak (gumuk la nanti), cukup serai dan semuanya cukup.
Terangkat......

Kuih Ubi Ketuk



Kuih ni mak saya buat jual kat kedai. Jadi mak saya memang dah pakarlah buat kuih ni. Kuih ni walaupun nampak senang nak buat, cuma agak leceh sikit sebab ubi yang direbus tu tak boleh terlalu lembik. Ia akan payah untuk dibentuk kalau lembik.

Saya mula buat kuih ni lepas SPM dulu dimana saya dengan mak nak cuba buat kuih yang lain. Jadi kami cuba buat ubi ketuk ni. Dua-tiga kali jugalah cuba baru dapat cantik dan bulat seperti ni. Iyalah masa tu mana ada resepi. Malahan kuih ini kami buat berdasarkan rasa pada kuih yang pernah dibeli. Ketika itu juga agak payah nak dapat kuih ni di Negeri Sembilan. Saya pernah beli pun di KL.

Mula-mula buat, mak saya terebus ubi ni lama. Jadi ubinya jadi lembik. Bila dah campur dengan gula lagilah lembik. Nak bentuk bulat pun payah. Ada sekali tu, mak saya geram sebab asyik terlembik jer ubinya, dia pun tambah tepung. Apa lagi, keras macam batulah kuih tu. Macamana tak lembik, sebab mak saya belum boleh agak masa dan keadaan terbaik untuk ubi tu. 

Sekarang ni, pejam mata pun dah boleh buat. Sekali buat tu adalah 20-40 kg ubi kayu. Dalam seminggu buatlah dalam 2-3 kali berdasarkan permintaan. Tapi kini kuih ni amat laku dipasaran. Ubi kayu pun dah naik harga sejak kuih ni ada. Boleh dikatakan kat Negeri Sembilan pun dah ramai orang jual.

 Bahan-bahan:
ubi kayu - dikupas kulitnya dan direbus
gula pasir
kelapa
bancuhan tepung untuk menggoreng - tepung goreng pisang pun okey

Cara-caranya 
1. Ubi yang telah dibuang kulit, direbus dan ditoskan. Kemudian ubi ditumbuk/diketuk. (Boleh tumbuk dengan lesung batu)
2. Tambahkan gula ikut kehendak sendiri. Gaul rata. Kalau suka, boleh tambah kelapa
3. Campuran ini tadi dikepal bulat-bulat.
4. Celupkan dengan bancuhan tepung tadi, dan goreng sehingga keperangan.
Kuih ni boleh di sejukbekukan (frozen) dimana setelah dikepal bulat-bulat, masukkan kedalam peti beku.
Untuk tahan lebih lama, jangan tambah kelapa kerana kelapa akan cepat basi.


Ubi yang telah ditumbuk/diketuk

Ubi dikepal menjadi bulat

Jeng....jeng.....inilah hasilnya





Friday, March 25, 2011

Percutian paling jimat

Kebetulan 3 hari sebelum cuti sekolah pada 12 Mac 2011 hari tu saya dan suami terpaksa pergi ke KL. Jadi saya punggah semua anak-anak saya. Bila saya kerja, uwan tolong jaga mereka dalam bilik hotel. Jadinya dah alang-kepalang tu terus saya mohon cuti 3 hari lagi iaitu dari hari Isnin sampai Rabu. 

Jadi kebetulan rancang sekali dengan kakak saya untuk ambil cuti pada hari yang sama. Kununnya nak bawak anak-anak pergi berjalan-jalan. Pada awalnya rancang nak pergi ke Melaka. Tak jadi, tukar pulak ke Port Diskson. Tak jadilah jugak. Tukar lagi ke Taman Rekreasi Ulu Bendul. Taman ulu bendul pun tak jadi. Kesian punya pasal kat anak-anak, akhirnya mandi sungai je lah kat belakang rumah Uwan. Bukan tak best, tapi biasalah dekat sangat. Airnye cetek tapi jerneh. 
 Comelnya kakak
 Berenang jangan tak berenang Qil
 Papa ni eksyen jer lebih. Nak menjala kunun. Ikan sekor pun tak dapat. Apa yang dapat, ponek la.
 Indahnya sungaiku......ha...haaa.....best tak anak-anak. Nanti kita pergi lagi. Belakang rumah jer...
 Qib memang berani. Agaknya penuh perut sebab banyak sangat terminum air sungai. Terminum ker atau memang sengaja
Sebab belakang rumah jer, bebudak ni pun ketagih la. Kalau boleh nak pergi hari-hari. Hasilnya kulit semua hitam legam a.k.a. hangus.
Balik pun dapat sakit, bukan kena piat tapi demam+selsema+batuk.
Apa taknya, ada satu hari tu papa bawak berendam dari pukul 11 pagi hingga 3.30 petang. Tu pun naik sebab hari nak hujan + petir + guruh

Puteri saya geli benda berbulu

Saya pun sebenarnya tak perasan yang Arissa geli dengan benda berbulu seperti rambut anak patung mainan, bear, dan segala benda yang mempunyai bulu yang lembut. Tahu pun masa balik kampung suami saya kat Kota Bharu. Kebetulan rumah Mumy (bukan mumy jarum tapi panggilan untuk ibu mertua saya) ada satu doll yang berambut perang. Saya duk tengok apsal Arissa duk lari-lari dari doll tu. Rupanya dia geli kalau rambut doll kena kaki atau tangan dia. Geli sampai mimik muka dah macam terpijak katak licin jer. 
Katak licin
 
Sampaikan terjerit-jerit kalau terpegang. Dia baru setahun dua bulan. Tapi dah tau geli. Wah, ni sudah bagus. Kerana apa? Kerana ketika tu, Arissa baru dapat kaki. Jadi tempat yang dilarang dia pergi saya letak doll tu. Contohnya kalau dia tengah nak panjat sofa mertua saya, cepat-cepat saya letak kepala doll tu. Terus tak jadi naik. Paling senang, campak je seekor beruang kat tempat yang kita tak bagi pergi. Mesti dia tak masuk dah tempat tu. Sampai macam tu sekali.

Apalah Arissa ni. Semua gegirl kan suka mainan anak patung ni. Kalau bear lagilah (macam yang maktih dapat dari kawan dia tu). Ni macam mana mama nak belikan anak patung kalau Arissa sendiri takut nak pegang. (sebenarnya jimat duit mama, tak payah beli doll)

Mengapa dia geli sebenarnya? Agaknya sebab saya tak biasakan dia dengan anak patung ni. Jadi bila jumpa sesekali tu dia takut kut.
Ruginya rissa, kalau tak buleh dapat macam ni
tak pun yang camni
Petang semalam masa saya bersiap nak solat magrib tetiba saya dengar dia menjerit. Lepas tu duk lari masuk bilik. Lepas tu keluar balik. Macam main ciku cak tu la. Saya pun pergi la tengok apa yang dia duk ciku cak. Rupanya dia duk lari dari sehelai benang warna biru kat atas lantai. Benang kan ringan. Jadi bila kena kipas, jadilah macam bergerak-gerak. Itupun dia takut. Apalah....mungkin dia ingat ulat kut. Dah pandai geli yer skarang. Takper....mama tak kisah kalau Rissa tak suka anak patung. Sebab doll ni mahal tau. Jadi main ajelah dengan apa yang ada kat rumah. Kui....kui....

Thursday, March 24, 2011

Ajar anak menabung

Masa saya kecik-kecik dulu, mak saya dah ajar. Kalau nak beli apa-apa mesti kena kumpul duit sendiri. Caranya ialah dengan tolong mak meniaga. Kalau sekali tolong tu dapatlah upah dalam RM10-20. Jadi duit tu saya kumpul untuk beli apa yang nak. Sampaikan nak beli baju raya pun kumpul duit sendiri. Kalau nak beli baju yang lebih lip lapnya, kenalah kerja keras sikit lah. Kalau tak suramlah raya saya tahun tu.

Dulu saya guna tabung buluh jer. Dah penuh, kena belah 2 buluh tu.
Tapi biasanya tabung ni mesti penuh, sebab tak de lubang nak korek
Cara mak saya ni agak berkesan. Sampai sekarang kalau nak beli apa-apa, saya akan berusaha kumpul duit dulu baru beli. Kalau tak de duit, duduk diam-diam je.

Jadi cara ni saya cuba terapkan pada anak saya si abang. Mana taknya kalau bagi duit belanja sekolah sentiasa habis. Jaranglah ada baki. Kalau ada pun 10-20 sen je yang tinggal. Kalau bagi RM10 pun boleh habis. Kalau memang beli makanan masa rehat kat sekolah takpe jugak. Ini duk beli pemadam, pensil, sticker dan tah apa lagi. Bila bawak balik, puteri saya, Arissa duk kutip plak pemadam abang dia yang bersepah-sepah tu. Arissa kalau kutip tu ada sebab. Nak makan lah.

Sampai satu tahap, saya tak nak bagi dia beli. Saya belikan siap-siap 2 kotak pensil, sedozen pemadam, sedozen pembaris, sedozen pengasah. Sebab saya tak nak dia bagi alasan barang-barang dia tu hilang kat sekolah. Ini tidak, hari-hari jadi pelanggan tetap koperasi sekolah. Kalau hilang lagi tak perlu risau. Mama dah ada stok kat rumah. Kui.....kui....

Walau saya dah buat macam tu, dia beli benda lain pulak. Jadi saya duk fikir, apa yang saya boleh buat bagi dia pandai berjimat dengan duit belanja sekolah.

Ketika ni, abang duk usyar nak beli basikal besar (basikal barulah sebab kawan dia, nik aiman dah ada basikal baru). Jadi saya kata kat dia, "kalau abang nak beli basikal macam nik aiman tu, abang kena simpan duit. Duit belanja sekolah yang tak habis tu, abang kena masuk tabung. Lagi cepat abang kumpul, lagi cepat abang boleh beli." Dia pun senyum lebar. Mungkin duk bayangkan basikal baru kut.

Esoknya, balik sekolah terus masuk duit dalam tabung. Saya tanya berapa baki duit abang, "RM1."Abang tak makan ke, tanya saya lagi. Sebab paginya, papa bagi RM2 je. Takut tak makan pula. "Makan, tapi abang tak beli air. Abang minum air kosong yang abang bawak tu". Pandai pula minum air kosong. Kalau biasanya, sebotol air bawak pergi sekolah, sebotol tu jugaklah bawak balik rumah.

Malam ni, saya dah janji dengan dia nak tolong kira duit tabung. Kalau cukup, esok boleh beli. Kalau tak cukup, kena kumpul lagi. Tersengih dia, bila saya kata macam tu. Nampak bersemangat. Ialah nak dapat basikal baru.

Yang tak tahan tu, siap mintak derma lagi. Masa balik kampung hari tu, duk kata kat uwan yang mama suruh kumpul duit kalau nak beli basikal baru. Uwan biasalah tak sampai hati. Sampai uwan tanya, berapa lagi duit abang yang tak cukupnya nak beli basikal. Nanti uwan tambah, kata mak saya. Dia kesianlah kat abanglah tu.

Tapi cara ni memang berkesan. Sebab dia ada halatuju duitnya tu. Jadi tak perlu saya paksa. Dia dengan sukarela menabung.

Rasa mahu ponteng kerja......

Hari ni kena pergi sekolah sekejap dekat Berserah. Adalah urusan 4 mata dengan cikgu. Biasalah kalau dah lalu dekat Berserah tu. Mesti nak singgah kejap makan keropok lekor. Keropok lekor Berserahlah yang terkenal tu. Wah sedapnya.
Sedap banget
Ingat, jangan melencong. Kui...kui....rasa malas pulak nak balik ofis semula. Bos....boleh tak saya pergi jenjalan kat memana dulu. Kalau rasa nak balik saya balik la. Buleh ke...

Yelah, rasa nak pergi tengok keindahan pantai plak dekat cherating. Sambil nyanyi lagu hindustan. Boleh guling-guling sekali atas pasir. Mesti best giler.

Wednesday, March 23, 2011

Nur Damia Iwana-anak sedaraku yang comel tapi......

Nur Damia Iwana - adalah anak Kakngah saya. Orangnya memang comel lote. Dengan pipi yang temban, rambut yang lurus, kurus kering. Semua nampak cantik.

Tapi dia ni agak lasak orangnya. Mungkin disebabkan dia kurus, memudahkan membuat segala aktiviti yang dilarang. Kalau balik kampung, ada aje sebab nak kena marah dekat ayah dan mami dia. Kadang-kadang saya sendiri pun pening kepala. Kadang-kadang kelakar. Kadang-kadang boleh mendatangkan marah. Kadang-kadang sedih pulak tengok dia.

Abang memang baik dengan Damia. Tengok tu ambil gambar pun cam ghini
Perangai dia lebih kurang anak saya si Abang. Tu yang boleh ngam dan berkawan baik. Kebetulanlah pula, kedua-dua ni dilahirkan dengan jari kaki manis sebelah kiri yang senget. Sama lah pulak. perangai pun sama. Kenakalan pun sama. Tu yang dia dua orang ni boleh ngam. Yang membezakan jantina sahaja. Kalau disuruh makan, dialah yang paling susah. Semua benda tak takut. Kena marah pun buat derk jer. Kalau dapat menangis, dialah heroin air mata. Kakak.....kakak. Badan pun kurus kering. Kalau lepas mandi, boleh keluar gitar dia.
Comel kan Damia bersama Abang dan Aqil Qayyim
Tak pe lah kakak (panggilan untuk Damia ni). Dah besar dan berakal esok eloklah tu. Mama (panggilan anak-anak dan anak buah pada saya) ni pun masa kecik-kecik dulu pun nakal jugak. Sampai uwan dengan atuk pun pening kepala. Mana tak nya. Kalau mandi sungai kat belakang rumah tu tak ingat dunia. Selagi tak gelap (malam) tak balik lagi. Kalau tak bergaduh dengan adik beradik tak sah. Biasanya sayalah puncanya. Kadang-kadang pegi curi buah mangga rumah tok sebelah rumah.

Tapi biasanya anak-anak yang nakal ni agak cerdik. Jika dipantau dengan betul, insya-Allah boleh. Contohnya anak saya si abang ni, dekat nak periksa hari tu, papa duk paksa buat latihan. Paling dia suka matematik dengan bahasa melayu. Siap menyanyi-nyanyi lagi masa buat. Tapi bila sampai english dengan sains mulalah buat perangai. Sebab tak faham. Tapi papa sabar ajar dia. Duduk sebelah abang sampai dia siap buat latihan.

Hasilnya amat berbaloi. Dua hari ni abang duk bawak balik rumah dan dengan bangganya tunjuk keputusan ujian PKSR 1 dia. Semua dapat A. Alhamdullilah. Sampaikan matematik dapat semua betul. Papa pun bangga sekalilah. Taklah malu kalau nak pergi ambil report card nanti.

Tulah, sama dengan si Damia ni. Mungkin dia dah mengikut hasil kreativiti ayahnya. Kalau melukis memang cantik. Kalau mewarna memang boleh kalah budak yang lebih besar. Kalau membaca, memang tekun. Kalau mengira pun boleh tahan. Cuma apa yang diperlukan adalah fokus. Fokus dia memang ke laut. Insya-Allah satu hari nanti okeylah si kakak ni.

Tuesday, March 22, 2011

Mengapa berubah hati dikala senja

Kadang-kadang sukar nak faham dengan isi hati orang lelaki ni. Tak tau lagi apa yang kurang pada si isteri. Dah dapat isteri yang cantik manis masih mencari yang lain. Dah dapat isteri yang pandai memasak masih minat pada janda jual nasi lemak depan ofis. Dah dapat isteri yang memahami masih mencari anak dara yang baru habis sekolah (yang dah tentu banyak kerenah, budak baru nak hidup). Dah dapat isteri yang sanggup berkorban segalanya, masih nak ngurat gro kelab dangdut.

Tak taulah, apa yang mereka cari. Kalau yang muda tu nak cari kepuasan. Kalau yang tua nak cari kehebatan. Apa yang mereka dapat? Kepuasan, kehebatan, kejaguhan, kehandalan, dan segala yang ker lah...

Masa belum dapat tu, semuanya indah. Bila dah dapat, barulah nampak sebenarnya yang lama tak semestinya busuk, buruk, menyakitkan. Malahan yang lama lebih menawan. Lebih bergetah. Lebih memahami. Lebih menetapi selera. Lebih sedap masakannya. Lebih menjaga kita. Lebih pandai mengambil hati.

Yang baru pula tak semestinya wangi, sedap, menyenangkan. Malahan bila dah sebantal barulah tahu tak semuanya wangi. Malahan lebih busuk. Lebih memeningkan. Lebih kerenah. Lebih keanak-anakan. Lebih menyakitkan.

Tapi bila nasi dah jadi bubur, bila dah terlanjur terimalah akibatnya. Isteri lama merajuk dan menghilang. Anak-anak menjauh. Kawan-kawan lari.

Apa yang dapat? Isteri baru yang memeningkan. Bila dah susah, semua mula akan menjauhkan diri. Tak perlulah dicari si polan ni yang sama-sama bergelak ketawa semasa senang dahulu. Tak perlulah dicari si polan tu yang sama-sama bersuka ria dahulu.

Tinggallah si lelaki tadi keseorangan. Tiada lagi rakan-rakan. Ini yang saya tak faham. Menurut orang lelaki ini adalah fitrah mereka yang tak pernah cukup dengan satu. Jadi mereka jangan marah pula kalau si isteri nak berbelanja untuk membeli belah, berjalan-jalan. Kerana fitrah orang perempuan hendakan kecantikan. Jadi orang lelaki kena sediakan walaupun tak mampu. Kerana kalau nak mencari yang lain mereka tak fikir mampu atau tidak pula.

Mengapa saya geram? Entahlah. Sedih mungkin. Kecewa mungkin. Terkilan mungkin.  Terlebih garam pun mungkin.

Mujur abang ada insuran

Satu masa dulu saya cukup menyampah kalau didekati oleh orang insuran. Tak kiralah insuran jenis apa sekali pun. Tak berminat, sibuk, dah ambil, banyak kerja, pergi kat orang lainlah, tak mampu. Itu antara jawapan saya kepada ejen insuran. Tak pun lari jika nampak mereka. Kesian kat ejen insuran ni. Mereka pun nak cari rezeki jugak. Tapi memang saya dan mungkin anda jugak fobia dengan mereka. Ini kerana cara mereka mendekati, memujuk atau mempromosikan insuran tu agak jelek pada mata saya ketika itu. Bagi saya, mereka ini amat mengganggu. Kerana tanpa rasa jemu untuk memujuk membeli insuran dengan mereka. Sebenarnya saya tak boleh marah dengan mereka. Kerana itulah cara mereka mencari pelanggan bagi mendapatkan rezeki.

Pada satu ketika dulu juga, saya merasakan apalah perlunya insuran ni. Saya kan kakitangan awam. Semestinya saya boleh mendapat rawatan percuma di hospital kerajaan. Buat apa membazir duit jika boleh mendapatkannya secara percuma. Baik saya beli apa yang saya nak. Lagi satu, jika perlindungan kesihatan duit yang dicarum akan hangus. Kalau ada pun, hanya sedikit. Membazirkan.

Lagi satu, saya kan sihat. Mana ada penyakit lagi. Saya pun baru memasukki awal 30an (perasan mudalah tu). Tak perlulah insuran. Anak-anak pun rasanya tak perlukan insuran. Setakat demam, batuk pergi je ke klinik kesihatan yang berhampiran. Kalau sakit teruk, bawak je pergi hospital besar. Apa nak susah. Budak-budak biasalah kalau sakit sikit-sikit tu.

Itu adalah antara sebab ketika itu mengapa saya tak berminat mengambil insuran. Tambahan pulak rasa macam tak mampu nak membayarnya setiap bulan. Kebetulan bila dah dapat anak nombor 2, saya tergerak hati nak ambilkan anak-anak saya insuran. Jadi dah alang-alang anak saya masuk insuran, saya pun masuk sekali lah. Taklah banyak, tapi 3 orang tu membawa RM350. Mengapa saya mengambil insuran? Bukan kerana kesihatan tapi lebih kepada simpanan untuk anak-anak terutama kalau mereka lanjutkan pelajaran nanti. Nak harapkan saya menyimpan secara tradisional seperti tabung haji untuk mereka, jangan haraplah. Kengkadang saya terguna juga duit mereka, terutama kalau saya nak beli apa-apa macam peti ais baru yang lebih besar ke, nak tambah aircond kat bilik ke, nak beli kereta ke. (Apalah punya ibu, tak amanah). 

Jadi dengan adanya insuran, saya wajib membayarnya setiap bulan. Dan saya tidak boleh menyalahgunakannya. Kui....kui.....tak bolehlah saya nak beli perabot baru. Jadi sekurang-kurangnya kalau ada apa-apa terjadi kepada saya, anak-anak masih terjamin kewangannya. Saya harap anak-anak tak akan terlalu mengharap belas ehsan orang lain jika saya telah tiada. Sekurang-kurangnya mereka masih mempunyai sumber kewangan untuk meneruskan hidup dan pelajaran. Itu harapan saya.

Nak jadikan cerita, anak sulung saya, abang memang kerap mengalami kemalangan kecil. Nak buat macam mana. Budak tengah nak membesar. Kalau setakat bengkak kepala akibat jatuh tu dah biasa. Adalah satu kejadian dimana jari manis sebelah kiri si abang ni terkepit pintu. Kejadian tu berlaku ketika suami dan anak-anak sedang bersiap nak tidur. Kebetulan suami saya keluar dari bilik sekejap. Nak ke tandas katanya. Tinggallah si abang dengan angah dalam bilik. Agaknya abang menjenguk sekejap kat luar bilik sambil jarinya letak kat tepi pintu (berhampiran engsel pintu). Si angah pulak dengan sengaja menutup pintu dari dalam dengan kuat. Tertutup rapatlah pintu tu. Apa lagi, menjeritlah si abang ni tadi. Saya ingat dia main-main. Dia nak buka pintu tak boleh sebab jauh, jadi dia pusinglah jari yang terkepit tu. Bila saya buka pintu tu tadi, jari manis abang dah terkulai. Terkeluar tulang dari isinya. Saya dengan pantas membalut dengan kain sambil menjerit pada papa yang berada dalam tandas. Saya cuba bercakap dengan cool meminta suami membawa abang ke hospital. Jadi suami saya hanya melihat jari abang yang dah terkulai tu bila sampai hospital je. Suami saya ni agak gelabah. Jadi saya takut dia pulak yang accident nanti. Jadi saya tak tunjukkan jari abang tadi. Biar dia dah sampai hospital baru tengok.(cerita ni panjang, nanti saya sambung lagi)

Sampai je KSH, terus diberi rawatan. Bagi saya hospital ini sangat bagus. Kerana tanpa menunggu lama, anak saya terus diberi rawatan dan jarinya terus disambung semula. Ini yang paling menakutkan saya. Saya takut jarinya tidak boleh disambung kembali. Alhamdullilah, syukur ke hadrat Ilahi. Kerana jari anak saya berjaya disambung semula. Duduklah abang dalam 5 hari kat hospital. Kini walapun dah baik, jarinya itu senget sedikit.
Kuku yang tercabut sendiri setelah lebih 3 minggu kejadian. Macam jari yang putuskan. Tapi sebenarnya kuku bersama kulit yang mati


Hasilnya walaupun boleh disambung tetapi senget sikit. Mujur lelaki, kalau perempuan dah tak cantik nak sarung cincin nanti


Tahu berapa kos rawatan keseluruhannya termasuk makan dan bilik, dekat RM8,000. Mahalnya tapi berbaloi berdasarkan layanan, rawatan, makanan (ayamas lagi tu, boleh minta apa yang kita nak berdasarkan menu) dan yang paling penting anak saya selamat dan selesa.


Ada rakan bertanya mengapa saya tidak dibawa ke hospital kerajaan. Dan adakah kerana saya ada insuran, saya pergi hospital swasta. Jawapannya adalah saya mahu anak saya dirawat cepat. Saya mahu anak saya diberi perhatian lebih. Saya mahu melawat anak saya di hospital mengikut kesesuaian masa saya. Saya mahu anak saya selesa. Saya mahu anak saya berasa suasana rumah di hospital. Saya mahu mengurangkan kesakitan anak saya. Saya mahu anak saya boleh bermain dengan gajetnya. Saya juga mahu suami saya selesa menjaga dia di hospital.


Bukan niat saya hendak memperlekehkan hospital kerajaan. Tetapi hospital awam ni terlampau ramai orang. Malahan pernah satu ketika, saya berkesempatan melawat saudara yang sakit di hospital, dia dikelilingi katil pesakit warga asing dari indonesia, bangladesh dan macam-macam lagilah. Warga asing suka ke hospital kita kerana kos rawatannya yang lebih murah dan selesa. Warga asing ni biasalah, ikut suka dia je bila nak meludah, terkencing dan sebagainya lagi. Tambahan pula, pihak hospital akan mendahulukan kes kecemasan yang lebih teruk seperti kemalangan besar. Saya takut untuk menunggu lebih lama. Terlalu bayak kes berat di hospital awam yang perlu didahulukan berbanding hanya jari anak saya yang putus tu.Saya tidak menyalahkan hospital awam. Nak buat macam mana, pesakit mereka terlampau ramai. Jadi nak mengelakkannya perlulah ke hospital swasta, tapi mahal pula. Caranya, kenalah ambil insuran. Tak kena, tak tahu. Dah kena, barulah kata "Menyesal aku tak ambil insuran".


Sebenarnya kalau kita sakit pun, kita nak kan layanan yang baik, selesa. Jadi renung-renungkanlah. Saya bukan ejen insuran. Cuma berkongsi pengalaman.

Monday, March 21, 2011

Adakah esok akan kiamat......

Makin hari, makin membimbangkan. Sana sini bencana alam. Dengan tsunami, gempa bumi, banjir besar, letupan gunung berapi. Yang mengorbankan beribu-ribu nyawa. Ini semua peringatan dari Allah. Namun kita masih leka bergumbira.

Tsunami di Jepun ni, pada pandangan saya, angka kematiannya mungkin kurang berbanding jika berlaku di negara kita. Ini kerana Jepun mempunyai sistem amaran bencana yang canggih. Agaknya kalau berlaku di Malaysia, mungkin berpuluh malahan beratus ribu yang mati. Ditambah pula dengan kebocoran logi nuklear. Orang seperti saya ni, cuma tahu bahawa nuklear itu berbahaya dan boleh mendatangkan kanser. Hakikatnya, banyak lagi kemusnahan akibat daripada nuklear ni. Hasil pembacaan dalam suratkhabar semalam menyatakan bahawa boleh mengakibatkan kemandulan, kecacatan pada bayi yang dikandung, kemusnahan alam yang kekal. Malahan simpanan toksid dalam hujan juga boleh disimpan selama 30 tahun, baru habis. Fuh....dasyat. Kesian kita, kesian anak-anak kita. Kerana mewarisi dunia yang sudah tak selamat diduduki. Jangan kita jadi macam cerita WALL-E sudah. Kena duduk dekat angkasa plak. Kui....kui....

Bencana satu hal, perang pun satu hal. Janganlah berlakunya perang dunia ketiga. Kalau berlaku, memang nak kiamatlah. Dunia dah tua, tu yang sakit. Ditambah dengan orang yang gila kuasa. Sanggup buat apa sahaja kerana pangkat dan harta.

Marilah sama-sama renungkan. Dimanakah kita, jika dunia betul-betul akan kiamat pada esok.

Sunday, March 06, 2011

Tugasan luar lagi

Minggu depan dari hari Rabu sampailah ke hari Sabtu saya ada tugasan luar lagi. Jadi suami saya terlibat sekali. Seperti biasa, bila kena keluar yang paling saya risau nak meninggalkan 3 orang putera-putari saya. Kalau rakan-rakan saya, mereka dah biasa tinggalkan anak dekat nursery. Saya tak biasa. Dan mak kat kampung pun akan bising, kalau dia tau.

Bincang dengan suami, jadi kami cadang bawa jer putera-puteri kami ni sekali. Sebab kebetulan abang dah cuti sekolah minggu depan. Namun persoalannya, sapa nak jaga ye masa saya kerja? Satu soalan yang baik.

Saya pernah ditugaskan di Perlis selama seminggu. Masa tu saya bawak dua orang putera saya tu sekali. Masa tu, Arissa tak ada lagi. Jadi kat sana, saya cari nursery yang boleh ambil untuk jagaan harian. Jadi saya hantar mereka kat situ sepanjang masa saya bekerja. Petang saya ambil semula. Ada rakan bertanya, boleh kau percaya kat nursery yang baru kau jumpa. Saya yakin, Allah ada bersama kami. Jadi saya berserah sahaja kepada Allah. Saya juga bukan hantar pada nursery sebarangan. Saya masuk sekali ke nursery terbabit. Malahan, sampai ke dapur saya check. Bukan main hantar je. Malahan, nursery terbabit jaga anak saya lebih baik berbanding dengan anak orang yang sudah sedia ada kat situ (saya rasa la, sebab masa saya ambil anak tidak menentu begantung pada kerja. Kalau siap awal, ambil awal.)

Jadi kali ni, saya mungkin bawak Emak kat kampung. Emak pun dah setuju dengan syarat jangan lama sangat Emak mana boleh tinggalkan rumah kat kampung tu lelama. Dia takut mati pokok orkid, pokok lada, pokok bunga entah apa nama, ayam. Lepas tu dia takut tinggal adik saya tu sensorang kat rumah. Macam-macam lagi yang dia takut. Orang tua, biasalah. Kalau jadi Emak ikut saya, Alhamdullilah. Ada orang tolong tengokkan anak saya. Tapi saya kena hantar awal lah Emak balik. Sebab hari Sabtu Emak nak pergi kursus Haji. Insya-Allah tahun depan Emak pergi haji.

Lagi satu hal, Abang sekolah. Angah takpe, sebab dia sekolah tadika. Abanglah yang dirisaukan. Sebab dia periksa hari Isnin sampai Rabu. Jadi saya pergi lewatlah sikit. Malam petang Rabu tu, lepasa Abang balik sekolah baru gerak. Baki sekolah hari Khamis dan Jumaat tu, kira burnlah. Sekolah tu kan mama ada syer (ayat sedap hati). Takpe, nanti mama bagi surat kat cikgu Abang kata ada hal yang tak boleh dielakkan. Kui...kui...kui....Baru berniat tahun ni tak nak bagi Abang ponteng sekolah. Boleh dapat hadiah kehadiran penuh. Punah harapan. Apalah, mak bapak yang ajar anak ponteng sekolah.

Saturday, March 05, 2011

Mari belajar Bahasa nogori - siri 1

Kalau saya menonton drama kat TV dimana pelakonnya terpaksa berbahasa dialek negeri sembilan, kadang-kadang kedengaran lucu di telinga saya. Contohnya, drama Masak Lomak Cili Api, drama kat tv2 tu. Kalau Abby Saiful, okeylah. Sebab dia memang orang negori. Tapi bila isteri dan anak dia bercakap, kedengaran pelik dan tak sedap. Macam minum kopi kurang gula. Tak ngam.

Ini kerana, semuanya hendak ditukar ke huruf O. Contohnya :-
dekat sana jadi dekat sano (sepatutnya dokek sano)
pergi mana jadi pergi mano (padahal sepatutnya poie mano)
saya jadi sayo (kebiasaannya orang nogori akan panggil eden-ketika dengan kengkawan atau eshe-ketika berbual dengan orang yang lebih tua)

Contoh ayat yer:-
Hari ini saya ke sekolah dengan menaiki bas. Bas datang lewat. Puas saya menunggunya.
Aghi ni den ko skolah naik bas. Lambek botul bas datang. Pueh den tunggu eh.

Nanti sambung lagi sesi pembelajarannya




Kashaf Imani - Cerita yang menarik

Kebetulan petang sabtu lepas saya berkesempatan menonton telefilem Kashaf Imani ni dekat astro saluran Prima (kalau tak silap sayalah). Jalan ceritanya tentang sebuah keluarga yang bermasalah dan akhirnya mendapat pembalasan. Dan Amani berlakon sebagai Imani yang pernah terlibat dengan kemalangan serta koma. Sebaik sedar dari koma, hijab matanya telah dibuka yang membolehkan dia nampak dan berhubung dengan roh yang sedang koma atau yang telah mati.

Saya bukan nak bercerita tentang jalan cerita ini. Tetapi saya berminat dengan hal kematian dalam cerita ni. Dimana perbualan antara Kashaf dan rakannya :
Rakan : Kashaf, jom kita pergi ambik barang dekat JB
Kashaf : Kau gila, kantoi nanti. Dosa tau
Rakan :  Sejak bila kau tau tentang dosa ni
Kashaf : Kau tak takut mati ke?
Rakan : Mati? Kalau gua mati, sekarang ni gua dan lu tengah berenang di neraka lah? Kah....kah...kah
(Dialog ni antara betul dengan tidak. Sebab saya ingat-ingat lupa)
Keesokkannya, rakan si Kashaf dijumpai dibunuh di bawah jambatan.

Walaupun hanya sebuah cerita, diselingkan dengan aksi adik Kashaf (Sharmila) yang beraksi seksa dan berpakaian seksa. Disamping berbahasa seksa. Tapi telefilem ni masih best.

Ini menyebabkan saya terfikir dan berfikir. Kematian itu tidak akan menunggu kita bersedia menghadapinya. Kematian itu tidak akan lewat walau seminit. Kematian itu semua yang hidup terlibat, tiada pengecualian. Kematian itu datang tanpa membezakan kaya atau miskin, cantik atau buruk, sihat atau sakit, pangkat atau darjat. Yang pasti, bila sampai masa, ia pasti akan menjemput kita.
Cuma saya berdoa, jika telah sampai masa saya nanti atau sekarang. Janganlah saya dimatikan dalam keadaan saya sedang bersuka-ria. Janganlah saya dimatikan dalam hati saya tidak mengingatiNya. Janganlah saya dimatikan dalam usia yang terlalu tua sehingga nanyuk, kerana saya akan menyusahkan anak-anak dan menambahkan dosa mereka. Janganlah saya dalam keadaan fasik. Janganlah saya diberikan sakit yang terlalu lama dan siksa. Biarlah ketika nyawa saya diambil, saya masih mengingati dan masih menyubut nama Allah. Amin.

Terlalu banyak permintaan saya. Kengkadang saya malu nak bermohon kepada Allah. Kerana saya masih lalai, solat di akhir waktu, mendahulukan duniawi berbanding akhirat.Selagi tidak ditimpa musibah, saya jauh dari Allah. Bila telah ditimpa kesusahan, barulah saya mengingatinya. Ini pun kerana saya ingin memohon bantuan dariNya. Agar membantu saya yang sedang dalam kesusahan. 

Dimanakah Dia dihati saya ketika saya senang. Dimanakah Dia di hati saya ketika saya sedang bergembira menghadapi kemenangan. Mengapa saya hanya mengingatiNya dikala kesusahan, dikala ditimpa musibah.

Ya Allah, janganlah Kau jauhkan hambaMu ini dariMu. Biarlah aku mati di jalanMu. Amin
v

Friday, March 04, 2011

Pizza tak hut

Minggu lepas saya dah cuba buat pizza ni. Tapi mungkin kurang uli, jadi tepungnya agak keras. Apa kata suami saya:
"Ini pizza ke biskut. Keras semacam jer rotinya,"
Suami saya kalau bagi komen, memang tak agak-agak. Tapi takpe, nanti saya cuba lagi. 

Ni En Pizza yang saya buat minggu lepas. Bukan pizza sebenarnya tapi dah jadi biskut sebab rotinya keras dan rangup
  Jadi saya cuba sekali lagi malam tadi, okey jadi. Rotinya lembut. Walau makan dah sejuk, masih lembut. Pagi tadi pun, masa suami saya makan, dia kata:
"Ha...ni baru jadi. Lembut lagi walau dah sejuk. Inilah pizza terbest awak pernah buat"

Bangga jugaklah. Walaupun, masa menguli tepung ni, Arissa duk nangis kat kaki. Dia nak susulah. Apa lagi. Diakan tak boleh jumpa saya. Kalau tak nampak, takpe pulak.

Ni yang buat malam tadi

Ermm..........sedapnya....
Bahan-bahan:
Untuk doh pizza
2 cawan tepung gandum
2 st yis segera (mauripan)
1/2 st garam
1 st gula
2 sb minyak masak
1/2 cawan air suam untuk menguli

Untuk sos pizza
Sos pasta / spageti

Untuk topping
Bebola ayam, daging lembu, crab meat
Lada benggala hijau
Cendawan butang
Keju mozarella

Cara-cara:
Doh
1. Campur tepung, yis, garam, gula dan minyak dalam mangkuk besar. Gaul rata. Masukkan air suam sedikit hingga sedikit dan uli hingga doh lembut dan tak lekat pada tangan.
2. Sukatan air mengikut tepung yang digunakan. Agak-agak hingga doh tidak melekat di tangan. Masukkan doh dalam bekas besar yang telah disapu dengan minyak. Tutup dengan kain basah atau plstik cling.
3. Letak mangkuk pada tempat panas. Biar selama 60 minit atau naik sekali ganda.
4. Minyakkan acuan pizza. Canai doh setebal 2cm. Masuk doh hingga menutupi loyang. Biarkan sebentar selama 10 minit supaya kembang.
5. Cucuk adunan dengan garfu supaya tidak gelembung semasa membakarnya. Kemudian sapu sos pizza atas permukaan doh.
6. Parutkan 1/3 keju. Taburkan bahan topping ikut selera. Akhir, tabur baki keju tadi.
7. Bakar selama 25-30 minit pada suhu 200 degree.

Apam Pisang

Dua tiga hari ni saya kurang sihat. Batuk selsema. Badan pun jadi sakit-sakit. Jadi petang tu ingat nak beli goreng pisang buat minum petang. Tapi sebab fikir batuk, arissa pun batuk, tak boleh makan berminyak. Jadi agak sukar cari kuih yang kukus petang-petang ni. Kalau bergoreng banyaklah.

Saya pun carilah resepi dalam simpanan. Ini pun saya ambil dari MYR. Resepi sapa, tak ingat la pulak. Sebab dah lama print, cuma tak berkesempatan nak buat malas bebenornye. Kebetulan kat rumah ada pisang montel yang dah masak ranum. Cukup dah tu nak buat apam pisang.

Jadi resepinya kat bawah nilah. Saya kalau nak masak apa-apa mesti cari resepi yang mudah dan cepat. Ni salah satu resepi mudah. Bahan pun tak banyak. Hasilnya pun boleh tahan. Cukup untuk kami berlima. Lembut pun lembut.
Apam pisang kembung


Sebab tak ada acuan apam, jadi saya guna acuan tart. Tak cukup acuan tart, saya masuk dalam paper cup

Bahan-bahan:
1 cawan pisang dilenyek
1 cawan gula perang
2 cawan tepung naik sendiri
1 1/2 st bicarbonate
4 sb susu segar/ susu cair

Cara-cara:
1. Tepung dan bicarbonate diayak bersama. Kacau rata.
2. Pisang yang telah dilenyek dicampur dengan gula perang dan susu. Kacau rata.
3. Campurkan bahan 1 dan 2. Kacau sebati.
4. Tuangkan adunan dalam acuan kecil yang telah digriskan dengan minyak terlebih dahulu.
5. Kukus selama lebih kurang 10 minit atau hingga masak.

Selamat mencuba. Sedap dan sonang

Thursday, March 03, 2011

Puding Pelangi

Saya bukanlah seorang yang pandai memasak. Walaupun dah umur sekarang, kalau nak memasak masih menggunakan resepi. Masih tak berapa pandai nak mengagak. Jadi kalau nak nak memasak, walaupun sambal belacan sekalipun, mesti nak rujuk resepi. Takut kalau ikut saya, tak jadi.

Saya amat gemar membuat makan yang colourful contohnya puding. Saya suka bermain dengan warna. Walaupun saya bukanlah seorang yang kreatif dan inovatif. 

Masalahnya, suami saya tidak berapa gemar makan makanan yang lembik atau lekat pada tangan ni. Pudinglah maksud saya. Jadi kalau saya buat, hanya saya dan Arissa sahaja yang makan. Anak bujang saya pun kurang dengan kuih ni. 

Jadi saya sharelah resepi ni yang saya dapat dari internet.




Puding Pelangi
Bahan-bahan:
10g serbuk agar-agar
650 ml air
180 g gula pasir
60g mentega
1 biji telur
1 sb tepung kastad
1 sb serbuk koko
1/2 st vanila
pewarna merah dan hijau secukupnya

Caranya:
1. Masak agar-agar dengan air dan gula hingga mendidih dan ketepikan.
2. Pukul telur sebentar kemuadian masukkan susu dan tepung kastad. Kacau rata dan tapiskan
3. Setelah ditapis, satukan adunan telur dan agar-agar dan kacau lagi hingga rata. Masak semula hingga mendidih. Kemudian masukkan mentega dan vanila. Kacau rata.
4. Bahagikan kepada 3 mangkuk. Setiap satu letak warna yang disukai.
5. Sengetkan loyang, kemudian masukkan sesenduk demi sesenduk bergilir mengikut warna.

Perlanjutan Tempoh Bayar Saman Hingga 10 Mac 2011

Apa kes ni. Lawak betul lah.Cuba lah kota apa yang dikata. Ini tidak, kejap kata tak akan lanjut. Kejap lagi boleh lanjut. Apa da. Bukan apa kesian kat orang-orang yang terpaksa beratur panjang nak membayar hari tu. Nanti semua orang dah tak percaya.

Kenapa saya tension dengan kenyataan yang dikeluarkan semalam. Ini kerana kami juga terlibat dengan pembayaran last minute ni. Suami saya dah dua kali beratur untuk membayarnya. Sekali pada 27/2/2011(Ahad) dan pada 28/2/2011(Isnin)

Pada hari ahad tu, punyalah ramai orang. Walaupun kami datang pada pagi hari lagi. Mungkin benarlah agaknya sistem tu down. Sampai tak bergerak-gerak nombor giliran. Selepas mengambil nombor, suami saya ajak keluar dulu. Ini kerna ada 100 orang lagi di depan. Jadi kami pun pergilah kat pasar tani terdekat. Lebih kurang dua jam selepas tu, kami pergi semula ke pejabat pos. Nak tau, nombor tu masih lagi ada 100 orang kat depan dia. Ini haru. Last, kami pun balik.

Ini kerna suami cadang nak cuba bayar secara online. Sampai rumah, terus cuba nak bayar online dari pukul 12.00 tengahari sampailah ke tengah malam. Masih tak boleh online. Jadi suami saya decide nak bayar esok sahaja.

Jadi pada hari isnin tu, pepagi lagi En suami dah keluar dengan kawan dia menuju ke JPJ. Ini kerna, kawan suami saya tu, ada kawan dekat JPJ. Mungkin boleh tolong. Sampai dekat JPJ, punyalah haru. Orang dah lah ramai, kena beratur pulak. JPJ tak bagi ikut nombor giliran. Mereka minta beratur jika nak bayar. Ingat boleh guna orang dalam, rupanya hampeh berlaka. Tak boleh pakai orang dalam plak.

Tengah suami beratur (saya tak pergi kerana ada kelas), baru saya teringat ada barang yang orang tempah tertinggal dalam kereta suami. Jadi saya telefon, minta suami hantarkan. Saya cadangkan pada suami, bila dia dah ambik nombor giliran, balik ofis semula untuk serahkan barang saya tu. Sebab saya dah janji dengan customer nak bagi pukul 11.00 pagi. Rupanya, tak ada nombor giliran. Kena beratur. Jadi sia-sia ajelah kerja suami saya pada pagi tu.

Atas dasar prihatin, kawan suami saya tu cuba jugaklah pujuk kawan dia dekat JPJ tu. Tapi tak boleh. Kebetulan pula pagi tu saya ada call emak kat kampung. Dia bagitau adik saya(kaktih) tengah bersiap nak pergi bayar saman dekat Kuala Pilah. Jadi saya cuba telefon adik saya ni, kut-kut dia boleh tolong bayarkan. Nasib saya baik, semasa saya telefon tu, dia masih beratur nak bayar saman dekat Pejabat Polis Kuala Pilah. Jadi saya minta dia tolong bayarkan saman suami saya.

Ketika saya telefon adik saya tu kira-kira pukul 1 petang. Lebih kurang pukul 3 petang barulah adik saya dapat bayar. Punyalah lama. Dari pagi membawa ke petang. Semata-mata nak jelaskan saman.

Sekali, bila diumumkan perlanjutan tempoh bayaran ni, saya jadi kecewa. Jelas terbayang semula kepenatan di wajah suami yang ke hulu-hilir semata-mata nak kejar tarikh akhir bayaran saman tersebut. Macam sia-sia sahaja usaha orang lain yang beratur panjang, berlapar, tension sistem down, menunggu lama, berpanas.
Lengang
Bagi saya, kalau kita dah tetapkan begitu, mestilah begitu. Janganlah jadikan begini pula. Cakap mesti serupa bikin.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...