Friday, May 06, 2011

Tragedi Di Ulu Bendul-jadikan pengajaran

Air jikalau kecil dijadikan kawan, tetapi apabila besar menjadi lawan. Itulah perumpamaan yang boleh saya berikan ketika ini. Ini disebabkan ada yang ketawa apabila dikhabarkan ada kanak-kanak hanyut dan lemas di sungai tersebut. Apa tidaknya, jika kebiasaanya airnya cuma separas buku lali. Dan mungkin kalau tempat yang dalam pun cuma separas peha. Tetapi ketika itu air ini telah menjadi seumpama tsunami kecil yang membawa arus air yang cukup deras dan menakutkan serta membawa bersama segala di depannya.

Kepala air (flash flood) ini memang kerap berlaku di sungai. Ini kerana berlaku pengumpulan air hujan dari bahagian hulu dan kemudian akan turun secara serentak dan menghasilkan limpahan air yang banyak. Ada ketikanya, turunnya hanya yang kecil, kadangkala sederhana dan ada ketika besar seperti ini.


Gambar anak-anak yang lemas
Gambar anak yang tengah itulah yang masih hilang
Kesiankan...tidur atas tikar jer

Kebiasaanya semua orang dah tahu dan kalau hujan tak kiralah lebat atau tidak, tiada sapa lagi mandi di situ. Itulah sebabnya tak ada lagi kes berlakunya lemas seperti ini. Tapi ramai yang buat tak tahu walaupun dah tahu. Jika rasa berminat nak berjumpa dan beramah mesra dengan kepala air ini, datanglah ketika hari mendung atau ketika hujan baru hendak bermula. Tak lama lepas tu mesti jumpa. Kebiasaannya selepas kepala air ini berlaku, sekitar kawasan ulu bendul mesti tiada air paip dekat rumah. Sebab loji ditutup supaya air berlumpur ini tidak masuk ke dalam tangki. Dan kebanyakkan penduduk kat situ tak de tangki air sendiri.


Rumah ibu saya terletak 1 kilometer dari Taman Rekreasi Ulu Bendul. Jadi setiap kali saya pulang ke kampung mesti tension kalau hujan. Ini kerana selepas hujan mesti air paip takde. Jadi dah biasa dengan fenomena kepala air ini. Dan pernah satu ketika kalau tidak silap saya, 2 tahun lepas pernah berlaku banjir (tak pernah seumur hidup saya banjir) akibat lebihan limpahan hujan di bahagian hulu yang mengakibatkan banyak rumah yag dinaikki air. Rumah emak saya berhampiran jalan raya. Jadi tak kena. Namun pagar kami yang dipasang dan di'bim' dengan semen pun boleh jalan di bawa arus air. Inikan pula manusia.

Jadi perkara ini memang biasa namun kita sahaja perlu berhati-hati semasa mandi tak kiralah sungai atau laut. Bahayanya tetap ada.

Menurut emak saya, sungai belakang rumah menjadi terang disebabkan ramai yang melaluinya. Kebiasaannya hanya binatang aje yang ada. Kalau tak silap saya, pada bulan Januari 2011 ini, baru jer tangkap harimau kumbang dalam kawasan berpagar rumah emak saya dikampung. Kalau tak percaya cuba google. Dan harimau itu telah dihantar ke zoo melaka. Bukan setakat harimau kumbang, malahan tapir, anjing hutan, babi, ular dari yang lidi sampailah ke sawa pun banyak. Masa saya balik kampung cuti sekolah baru ini, ketika bawa anak mandi sungai belakang rumah emak saya, terjumpalah jejak si tapir ni. Jejaknya cukup besar sehingga menakutkan kami. Iyelah, baru jer tangkap harimau, dah ada pulak jejak binatang lain. Sekali dia terkam anak-anak saya, seriau nanti.


Sekarang usaha mencari dari pihak berkenaan telah dihentikan. Cuma berharap pihak keluarga kanak-kanak ini sahaja yang masih berusaha. Iyelah tak kanlah nak jasad anak tu tenggelam dalam sungai. Kalau bukan kita, siapa lagi nak mencari anak-anak ini. Dan pada petang tadi ahli keluarga anak ini telah datang ke rumah emak meminta izin lalu untuk pergi ke sungai belakang rumah. Namun hasilnya mengecewakan. Dan saya masih berharap dan berdoa akan ditemui.

Cuma yang saya agak khuatir, di kawasan sungai tersebut terdapat banyak binatang. Mana tidaknya, hutan tebal kat belakang sungai tu. Saya takut anak ini telah dibawa lari atau dibaham oleh binatang buas seperti harimau, ular mahupun babi. Babi memang bantai semua benda. Malahan ayam kampung ayah saya pun dia bantai makan (masa tak de pagar dululah). Bukan setakat ayam, malahan telur, kucing. Memang buruk makan ini haiwan. Harap-harap dijauhkanlah.

Nak disesalkan, benda dah berlaku. Nak disalahkan, benda dah terjadi. Menangis air mata darah sekali pun, benda dah berlaku tetap berlaku. Cuma jadikan ini satu pedoman dan pengajaran. Sayangilah anak-anak. Kesian anak-anak hasil dari penceraian ibu bapa ni. Terabai. Cuai. Ikut sedap jer sesapa nak jaga. Kadang-kadang kita sebagai ibu bapa ni, jangan ikutkan hati, anak-anak yang merana. Tengok gambar di atas tu, tidur atas tikar jer. Sedih, syahdu dan rasa yang tak terucap dengan kata-kata.

Kepada ibu bapa dan ahli keluarga kanak-kanak ini tabahkan hati, kuatkan semangat. Muhasabah diri. Mungkin ada hikmah di sebalik segala kejadian ini.

Al-Fatihah buatmu anak-anak. Syurga tempatmu ini. Jika hidupmu susah di dunia, insya-Allah di sana hidupmu bahagia. Jika dahulu dirimu diabaikan, kini disayangi dan dirindui. Insya-Allah bidadari syurga menunggumu di sana. Tinggallah dunia, tinggallah sayang. Kami pergi dulu.

Keratan akhbar Sinar Harian pasal penangkapan harimau kumbang di rumah emak saya.

ULU BENDUL – Misteri kehilangan sembilan ekor ayam dan tiga ekor angsa peliharaan Mohd Zaini Saad, 29, di Kampung Ulu Bendul terjawab apabila berjaya menangkap seekor harimau kumbang dekat belakang rumahnya itu, kelmarin.
Harimau kumbang yang belum diketahui jantinanya itu bertindak agresif apabila Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Jempol serta Seremban mengangkat sangkar hingga menyebabkan haiwan karnivor itu mengalami luka kecil.

Tertarik dengan kambing yang dijadikan umpan, harimau kumbang masuk ke dalam sangkar yang dipasang Perhilitan sejak dua hari lalu.

Mohd Zaini yang menyedari haiwan buas itu telah masuk dalam perangkap kemudian menghubungi Perhilitan.

Menurutnya, pada mulanya dia tidak perasaan binatang peliharaannya hilang terutama ayam ternakan kerana dia memelihara dalam kuantiti yang banyak untuk dibuat ayam salai.

“Memang sebelum ini tidak perasan tetapi sejak kebelakangan ini, ayam dan itik saya hilang satu persatu setiap hari.

“Hati mula tergerak untuk melihat kawasan belakang rumah lima hari yang lalu dan saya terkejut apabila ternampak bekas tapak kaki seekor harimau,” katanya yang membuka kedai ayam dan itik salai Pak Teh Ulu Bendul di hadapan rumahnya.

Mohd Zaini berkata, dia lega kerana harimau kumbang berkenaan berjaya ditangkap, sekali gus merungkai misteri kehilangan ternakannya selama ini.

“Jika dibiarkan berlarutan, keadaan ini boleh menjejaskan perniagaan saya,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...