Saturday, April 02, 2011

Pneumonia - gejala dan rawatan

Apabila mendapat perkhabaran mengenai baby Munirah (bidadari syurga) yang meninggal akibat pneumonia, barulah saya tersentak. Sebelum ni pernah dengar, tapi tak pernah prihatin. Tetapi bila dah berlaku depan mata, barulah tersedar. Ini adalah satu gejala yang tidak boleh dipandang remeh. 


Pneumonia adalah jangkitan kuman sama ada virus, bakteria atau fungus pada paru-paru. Apabila seseorang menghidap pneumonia, dia mengalami masalah sukar bernafas, sakit dada, batuk teruk (sama ada berkahak atau tidak) serta demam panas.

Sistem Pernafasan
Sistem pernafasan kita bermula dari hidung dan mulut, di mana udara disedut masuk dan dihembus keluar. Saluran udara dari hidung dipanggil nasofarinks, manakala saluran udara dari mulut pula orofarinks. Kedua-dua saluran ini bertemu dan bersatu menjadi larinks.

Orofarinks (saluran udara dari mulut) juga membawa bahan yang ditelan seperti makanan, air dan air liur. Semua bahan ini perlu masuk ke esofagus sebelum sampai ke perut.

Larinks kita dilindungi satu 'pintu' yang dipanggil epiglotis. Pintu ini menghalang kemasukan bahan yang ditelan daripada memasuki larinks dan sampai ke paru-paru.

Dari sini larinks bersambung ke trakea yang bercabang dua (dipanggil bronkus kiri dan kanan) dan di hujungnya ada banyak lagi cabang kecil. Di setiap hujung bronkus kecil terletak paru-paru yang membabitkan kantung udara kecil. Di sini berlaku pertukaran oksigen dan karbon dioksida ketika kita bernafas.

Sistem pernafasan kita adalah steril, iaitu bebas daripada kuman. Ia juga ada beberapa 'barisan pertahanan' untuk memastikan sistem pernafasan sentiasa bersih.

Yang pertama ialah bulu hidung yang berfungsi sebagai penapis untuk menghalang partikel besar masuk ke saluran pernafasan.

Kedua ialah epiglotis. Seperti diterangkan di atas, ia umpama pintu untuk menghalang kemasukan bahan yang ditelan ke dalam saluran udara. Apabila ada bahan 'tersesat' masuk, kita batuk atau bersin secara automatik untuk menolak keluar bahan 'sesat' tadi.

Ketiga ialah kelenjar liur yang menghasilkan air liur. Ia memerangkap habuk dan mikro organisma berbahaya. Di dalam saluran pernafasan kita juga ada rerambut halus dipanggil silia, yang bertugas sebagai 'penyapu' untuk membersih dan menolak kekotoran terperangkap ke luar. Mekanisme ini dipanggil sistem pembersihan mukosiliari.

Jadi, apabila ketahanan sistem pernafasan (termasuk refleks batuk dan sistem pembersihan mukosiliari) kita lemah, mikro organisma berbahaya boleh masuk dan menyebabkan keradangan pada paru-paru.

Selain itu, kita boleh mengalami pneumonia jika sistem imun badan lemah dan tidak mampu menghalang kuman (daripada jangkitan yang terhasil akibat menyedut aerosol, menelan lendir atau rembesan mulut dan farinks) memasuki saluran pernafasan dan paru-paru.

Kemerosotan pertahanan badan biasanya berlaku pada pesakit kencing manis (terutama jika tidak terkawal), kanser, buah pinggang kronik, strok atau individu yang mengalami kerosakan sistem pertahanan paru-paru.

Contohnya pesakit strok mudah mendapat pneumonia kerana refleks batuk mereka menjadi lemah dan perokok pula biasanya ada masalah pada sistem pembersihan mukosiliari. Bagaimanapun, pada perokok, keberkesanan sistem ini kembali normal jika berhenti merokok.

Jenis dan Punca

Pneumonia ada banyak jenis, daripada yang ringan hingga boleh mengancam nyawa, tetapi umumnya ia dibahagikan kepada 2 kategori iaitu :

1. Pneumonia yang diperoleh dari komuniti (jangkitan berlaku di luar sebelum dimasukkan ke hospital) atau pesakit menunjukkan gejala jangkitan dalam masa kurang 48 jam selepas ditahan di dalam wad.

2. Pneumonia yang diperoleh ketika di hospital. Gejala penyakit hanya muncul selepas lebih 48 jam pesakit dimasukkan ke hospital dan dipastikan tiada punca jangkitan lain. Ia juga dipanggil jangkitan nasokomial dan biasanya lebih teruk serta membabitkan bakteria yang lebih berdaya tahan terhadap ubat.

Bagaimana boleh berlaku jangkitan di hospital? Pembiakan bakteria pada farinks dan perut boleh dirangsang dengan kemasukan tiub endotrakeal dan tiub nasogastrik ke dalam saluran pernafasan bagi pesakit yang memerlukan bantuan alat pernafasan. Jadi bakteria ini bertambah banyak dan menyerang paru-paru.

Banyak faktor boleh menyebabkan jangkitan di hospital, antaranya ketahanan badan pesakit lemah, kurang zat, umur lanjut, menghidap penyakit kronik dan hilang kesedaran.

Klasifikasi ini penting untuk membolehkan doktor mengenal pasti kuman yang menyebabkan keradangan paru-paru kerana ubat yang diberi berbeza mengikut kuman penyebabnya. Pun begitu, dalam kebanyakan kes (40 hingga 60%) penyebab pneumonia tidak dapat dipastikan dengan tepat dan hampir 5% kes disebabkan jangkitan sekurang-kurangnya 2 jenis kuman.

Banyak mikro organisma boleh menyebabkan pneumonia, sama ada bakteria, virus atau fungi. Jenis mikro organisma ini pula berbeza mengikut jenis jangkitan, sama ada yang berlaku di dalam komuniti atau di hospital.

Bagi jangkitan yang berlaku dalam komuniti, penyebab utama pneumonia ialah bakteria, khususnya bakteria streptococcus pneumoniae yang menyebabkan lebih dua pertiga kes keradangan paru-paru.

Bakteria lain yang juga boleh menyebabkan pneumonia ialah haemophilus influenza, chlamydia pneumoniae, staphylococcus aereus, klebsiella pneumoniae dan spesies legionella. Manakala virus yang menyebabkan jangkitan pneumonia komuniti ialah adenovirus, virus sinsitium pernafasan dan parainfluenza.

Jangkitan di hospital membabitkan bakteria yang lebih berdaya tahan. Ini kerana di hospital ada ramai pesakit yang diberi pelbagai jenis antibiotik mengikut keperluan masing-masing. Penggunaan pelbagai antibiotik ini boleh merangsang pembiakan bakteria yang lebih berdaya tahan kepada banyak jenis antibiotik.

Antara bakteria yang menyebabkan jangkitan paru-paru di hospital ialah pseudomonas aeruginosa, enterobacter, klebsiella pneumoniae, escherichia coli, acinebacter selain fungus dan mikrobakteria.

Beberapa golongan berisiko untuk mendapat pneumonia iaitu:

* pesakit yang menghidap penyakit kronik
* orang tua
* kanak-kanak
* perokok tegar
* bekas pesakit tibi (terutama jika tibi yang dialaminya serius sehingga menyebabkan paru-paru berparut)

Tanda dan Gejala

Baik jangkitan dalam komuniti atau di hospital, gejala yang dialami pesakit adalah lebih kurang sama seperti :

+ demam panas (39° Celsius)

+ batuk, sama ada berkahak atau tidak. Jangkitan bakteria boleh menyebabkan kahak berwarna coklat atau nampak berkarat. Kadangkala pesakit alami batuk berdarah

+ mengalami masalah pernafasan (sesak nafas, nafas pendek)

+ dada terasa ketat

+ sakit dada

+ tiada selera makan

+ sakit kepala

Gejala yang disenaraikan di atas bersifat umum dan biasa berlaku setiap kali kita demam. Adalah disarankan pesakit meminta doktor menjalankan ujian lanjut jika demam dan batuk masih tidak berkurang selepas tiga atau empat hari mengambil ubat.

Dinasihatkan agar jangan suka bertukar doktor, daripada A ke B apabila didapati masalah kesihatannya tidak berkurang. Cara yang baik ialah bertemu semula doktor sama supaya ujian selanjutnya boleh dijalankan kerana dia ada rekod kesihatan anda.

Ujian Lanjut dan Rawatan

Banyak ujian boleh dilakukan ke atas pesakit, antaranya pemeriksaan sinar-x dada, ujian darah (untuk mengetahui jumlah sel darah, fungsi buah pinggang dan hati) serta ujian kahak bagi mengenal pasti kuman dan membuat pemeriksaan untuk tuberkulosis (tibi).

Hasil pemeriksaan ini, doktor boleh menentukan jenis antibiotik yang perlu diberi. Jenis antibiotik bergantung kepada kuman yang disyaki menyebabkan keradangan paru-paru.

Antara antibiotik yang sering digunakan ialah penisilin, macrolides dan fluroquinolones yang diberi secara oral (makan) kepada pesakit yang dirawat sebagai pesakit luar (dikategorikan mengalami pneumonia ringan).

Pesakit di dalam hospital pula diberi antibiotik secara suntikan intravena (ke dalam salur darah) kerana rata-rata pesakit lemah dan membolehkan badan menyerap ubat dengan lebih baik.

Siapa memerlukan rawatan antibiotik di hospital (suntikan)?

* Pesakit berumur (lebih 50 tahun) atau kanak-kanak

* Pesakit yang menghidap penyakit kronik (kencing manis, sakit buah pinggang, penyakit jantung kongestif dan barah)

Pesakit diberi suntikan antibiotik intravena kerana ketika ini kadar penyerapan ubat kurang baik dan kadangkala mengalami masalah tidak cukup air dalam badan.

Bagaimanapun, sebelum memberi suntikan antibiotik intravena, doktor melakukan pemeriksaan fizikal terlebih dulu dan antara ciri yang diperhatikan ialah :

+ pesakit mengalami demam panas
+ nadi dan degupan jantung laju
+ pesakit tidak sedarkan diri atau kelihatan keliru
+ pernafasan laju
+ pesakit sukar bernafas
+ tekanan darah menurun
+ berdasarkan hasil ujian darah dan pemeriksaan sinar-x dada

Pencegahan

Walaupun banyak jenis kuman boleh menyebabkan pneumonia, penyakit ini boleh dicegah dengan mendapatkan perlindungan daripada vaksin iaitu vaksin influenza dan vaksin pneumokokal.

Vaksin influenza bertujuan mencegah pneumonia yang disebabkan virus influenza dan ia perlu diambil setiap tahun. Vaksin diberi kepada:

* pesakit berumur lebih 65 tahun
* warga emas yang tinggal di rumah orang tua
* pesakit yang menghidap penyakit kronik, termasuk sekatan pulmonari kronik (COPD yang biasanya berlaku pada perokok)
* pesakit jantung, terutama yang mengalami kegagalan jantung kongestif

Suntikan vaksin pneumokokal pula memberi perlindungan daripada jangkitan bakteria streptococcus pneumoniae. Bagi kebanyakan orang, vaksin ini hanya perlu diambil sekali seumur hidup dan disarankan bagi orang yang mahu menunaikan haji di Makkah.

Vaksin ini diberi kepada :

+ orang berumur (lebih 65 tahun)

+ pesakit kronik (kencing manis, COPD, pesakit buang pinggang, pesakit jantung kongestif dan orang yang menghidap penyakit hati kronik)

+ penghidap penyakit yang merendahkan sistem imun badan seperti kanser, leukemia, mengalami jangkitan HIV. Bagi pesakit ini, mereka perlu mengambil vaksin ulangan setiap enam tahun.

Pesakit kronik lain perlu mendapatkan suntikan vaksin ulangan selepas berumur 65 tahun jika suntikan pertama diberi sebelum menjangkau 65 tahun. Maknanya jika pesakit mendapat suntikan vaksin ketika berumur 50 tahun, dia perlu mendapatkan vaksin ulangan apabila berumur 65 tahun dan diulang sekali lagi pada umur 71 tahun.

Jangkitan Serius

Pneumonia adalah jangkitan serius dan perlu diberi perhatian segera. Kadar kematian akibat pneumonia di negara kita tinggi iaitu kira-kira 30% yang membabitkan semua peringkat umur. Justeru, apabila anda demam panas dan batuk teruk yang tidak berkurang selepas tiga atau empat hari mengambil ubat, segera jalani pemeriksaan lanjut, terutama bagi pesakit tua dan kanak-kanak.

Perkara paling penting ialah mematuhi jadual pengambilan antibiotik yang mesti dihabiskan semuanya. Walaupun pneumonia boleh dicegah dan dirawat, ia jangkitan serius yang boleh membawa maut.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...