Seperti kita sedia maklum, kehilangan orang yang tersayang ini amat berat untuk diterima. Sukar, sedih, kecewa. Serasa jika aku buat begitu, tentu tak jadi begini. Terutama sekali jika melibatkan kehilangan dalam sekelip mata. Memang berat dugaan tersebut. Memang sukar untuk diterima. Memang serasa ingin sama ikut pergi menemaninya di sana. Terasa gelap masa depan. Terasa dunia ini sudah berakhir. Terasa Tuhan sungguh tidak adil kerana mengapa hanya kita diuji. Terasa keseorangan. Terasa kesepian.
Lantas kekesalan bersarang di hati. Dimana serasa hanya kita diuji dugaan sehebat ini. Terutama jika kehilangan melibatkan orang yang terdekat seperti anak, suami, ibu bapa. Berat. Sememangnya berat untuk diterima. Tapi hidup perlu diteruskan. Jika meratap, meraung, termenung atau sebagainya yang boleh menghilangkan pedoman hidup. Yang boleh menghilangkan akal fikiran waras. Tetapi yang pergi akan terus pergi. Yang tinggal perlukan teruskan hidup.
Mengapa saya buka topik ini, kerana hasil pembacaan saya dari beberapa blog menceritakan kisah sedih kehilangan mereka. Dimana mereka ini telah diuji dengan kehilangan permata hati yakni anak. Saya tahu, amat berat untuk diterima. Dan saya amat tahu, bahawa anak yang selama ini kita kandungkan selama sembilan bulan 10 hari, anak yang kita suapkan makan dan minum, anak yang kita duk mandikan, anak yang menggembirakan kita tetapi hilang dalam sekelip mata. Tinggalkan kita dalam kesedihan yang teramat. Dan sememangnya saya sendiri sukar untuk menerimanya. Dan sememangnya saya sendiri tidak pernah diuji sebegitu. Memang. Cuma hidup perlu diteruskan. Dan bukan kita tiada sesiapa didunia ini. Serta bukannya kita tiada anak yang lain. Malahan duk meratap kehilangan anak yang ini, anak yang lain terabai. Sampaikan seolah-olah hanya anak yang pergi itu sahajalah anak kita.
Sememangnya kita dibenarkan berkabung. Dimana tempoh berkabung pun ada hadnya. Jadi dalam tempoh berkabung itu bolehlah jika kita bersedih, kecewa, kesal dan segalanya. Dan selepas tamat tempoh berkabung itu, bangkit semula untuk teruskan hidup.
Hal ini digambarkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabda Baginda yang bermaksud :
“Seorang perempuan tidak boleh berkabung ke atas kematian seseorang lebih daripada tiga hari kecuali ke atas kematian suaminya selama empat bulan sepuluh hari dan pada tempoh berkabung itu dia tidak boleh memakai pakaian yang dicelup (berwarna-warni)”.
(Hadits riwayat Muslim).
Apa yang saya kesalkan ialah dengan duk meratap, merayu pada yang telah pergi. Jika baru sebulan dua tu okeylah. Ini bila dah bertahun pun masih macam ghitu. Masih menjerat hati. Masih menulis sesuatu yang menambahkan hati pilu. Masih membuat entry untuk anak yang pergi. Saya tau, kita bersedih. Tapi janganlah lukakan hati sendiri dengan menulis sebegitu. Kerana jika duk menulis benda yang sama sahaja, bermakna kita masih lagi berusaha membebankan jiwa sendiri.
Duduk bertenang. Yang pergi biarkan pergi. Mungkin sukar melupakannya. Dan sememangnya tak akan mungkin melupakannya. Tetapi cubalah simpan kenangan itu jauh di sudut hati yang paling dalam. Dan kenangkanlah hanya yang indah-indah sahaja ketika bersamanya. Kerana jika kita duk kenang dan menulis sesuatu yang membuatkan kita sendiri sedih, kecewa, kesal buat apa. Itu akan menjeruk hati sendiri. Baiklah tunjukkan bahawa kita kuat dan tabah untuk menghadapinya walaupun hakikatnya hati kita hancur dan terluka. Saya berasa amat kagum dengan akak ini kerana walaupun baru kehilangan puterinya, namun masih kuat. Itu semangat yang kita mahu.
Cuma saya berharap jika perkara seperti ini berlaku kepada saya, tolong ingatkan saya tentang ini. Kerana terkadang saya terlupa. Terkadang saya alpa. Dan terkadang saya duk mengikut kata hati. Duk meratap yang telah pergi, yang masih hidup terabai. Sememangnya kenangan itu tak mungkin terpadam, malahan terpahat kekal disudut hati yang paling indah sehingga kita sendiri mati. Namun cubalah untuk bertenang dan fikirkanlah....setiap yang hidup pasti akan mati. Cepat atau lambat sahaja.
No comments:
Post a Comment