Ini yang saya dapat dari berita harian online
KUALA PILAH: Tiga beradik hilang sekelip mata akibat fenomena ‘kepala air’ di Sungai Ulu Bendul dalam kawasan Hutan Lipur Ulu Bendul, dekat sini, menyebabkan mereka dihanyutkan air deras ketika sedang mandi, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Norshaza Alisa, 5; Norshaza Azira, 4; dan Norshaza Shakinah, 2, mandi bersama bapa mereka, Syed Ahmad Ibrahim, 28, dan seorang rakan wanitanya yang dikenali sebagai Alwani Abu Hasan, 20-an
Mereka dipercayai tidak sempat naik ke tebing apabila air sungai dari kawasan Gunung Angsi, tiba-tiba melimpah, lalu menghanyutkan tiga beradik bersama bapa dan rakan wanitanya. Saksi kejadian, Turiman Bostam, 40, yang menyertai program perkhemahan di situ memberitahu ternampak air sungai melimpah dengan deras dan terkejut apabila melihat beberapa orang terkapai-kapai di sungai itu.
Katanya, seorang lelaki dewasa dan dua kanak-kanak kelihatan tenggelam timbul serta berpusing-pusing dalam limpahan air deras.
“Seorang perempuan juga kelihatan hampir lemas. Mujur dia dekat dengan tempat saya berdiri dan tanpa membuang masa saya tarik rambutnya lalu dibawa ke tebing sungai. Lelaki dewasa itu pula diselamatkan orang lain.
“Namun saya kesal kerana kanak-kanak berkenaan tidak sempat diselamatkan dan hilang dibawa air deras,” katanya.
Lelaki dan wanita berkenaan kemudian dikenali sebagai Syed Ahmad dan Alwani. Bapa kanak-kanak terbabit bercerai dengan ibu mereka, Wan Azlela Wan Abdullah, 33, yang ketika kejadian berada di Senawang, Seremban dan selepas dimaklumkan, bergegas datang ke sini.
Bagaimanapun, Wan Azlela dari Taman Jasmin yang terkejut dengan kejadian itu enggan ditemubual, malah menangis tanpa henti dan beberapa kali pengesan.
Syed Ahmad dan Alwani yang cedera ringan dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, dekat sini untuk menerima rawatan lanjut.
Ketua Polis Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba, ketika ditemui memberitahu ketika kejadian, hujan belum lebat, tetapi limpahan air yang menghanyutkan mangsa sungguh deras.
Katanya, operasi mencari mangsa disertai kira-kira 40 orang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, RELA, Jabatan Perhutanan dan ahli Kelab 4X4 Kuala Pilah.
“Operasi dijalankan hingga jam 10 malam. Selepas itu, kita akan tentukan sama ada hendak teruskan atau sambung esok (hari ini) kerana keadaan hutan gelap,” katanya.
No comments:
Post a Comment