Saturday, April 30, 2011

Hidup mesti terus

Saya pernah ditanya apakah motto dalam hidup ini untuk di isi ke dalam buku kenangan zaman sekolah. Saya terdiam seketika. Untuk mudahkan cerita, saya bagilah 'Hidup mesti Terus'. Hanya itu yang terlintas dihati saya ketika itu. Sampaikan dekat 'U' pun motto saya masih ini. Sampaikan En Suami duk ejek pasal benda alah ini. Ialah masa tu tak terfikir pulak akan motor motto yang lain. Kalau tidak mesti saya dah bagi 'Hobin Jang Hobin'. Saya kan patriotik dengan nogori ni. Tak pun 'Kejor Yop Kejor' (macam tak sesuailah pulak). Iyalah kebetulan masa tu diorang tanya dalam masa yang terdesak. Jadi hanya itu yang terfikir. Hentam sahajalah labu. Janji ada motto. Daripada tak de baiklah ada. Betul tak!!!


Tapi bila dah sampai ke saat ini, sebenarnya kununnya motto saya itu amat berguna. Kerana amat membantu dikala susah mahupun senang. Dengan kata lain, apa pun yang mendatang sama ada gumbira, sedih mahupun kecewa......saya mesti teruskan perjalanan. Tidak boleh menoleh ke belakang semula. Dan tidak boleh menyesal apa yang telah dilakukan. Cuma bagi yang buruk akan dijadikan pedoman hidup agar saya tidak mengulanginya semula. Bagi yang baik akan dikekalkan atau diberi penambah baikkan. Macam nak kena auditlah pulak.



Setelah melalui segala kepayahan, kesukaran, kesenangan saya perlu sesekali menoleh atau mengibas kembali kisah silam semula. Bukan untuk menyesali apa yang terjadi, cuma jangan diulang semula kekesalan lama. Itu sahaja.

Dikala ini, di umur ini, di masa ini, saya cuma berharap agar saya terus diberi hidayah dan petunjuk dari Allah. Saya sentiasa di rahmatiNya. Saya sentiasa dipelihara olehNya. Disamping terus diberikan nikmat bahagia ini.


Cuma harapan saya agar jika suatu hari nanti saya diuji dengan ujian yang hebat, saya akan diberikan kekuatan untuk menempuhinya. Bukan mengharapkan bencana, namun sebagai manusia biasa saya tidak boleh lari untuk sentiasa diuji dan diduga. Saya tidak akan sentiasa bahagia dan begitu juga saya tak akan sentiasa berduka. Hanya berharap pada iman untuk teguh menghadapi segala kemungkinan. Janganlah saya kecundang di tengah jalan sehingga memungkin sesuatu yang lebih buruk berlaku.

Cuma saya amat berharap saya kan tenang hingga ke akhirnya. Janganlah akal saya ditarik kerana beban masalah yang menimpa.
Wassalam......

Friday, April 29, 2011

Carrot Cake

Kali ini saya mencuba pula kek lobak merah. Resepi saya ambil resepi ishikawa ayumi. Hasilnya lembut, gebu dan mudah. Sedap tetapi saya tak letak cheese frosting sebab nak makan macam ghitu jer.
Lobak merah yang telah disagat

Aduanan kek sebelum dibakor

Selepas dibakor

Dah siap, tinggal potong ajer


Inilah hasilnya


Bahan-bahan ( 9 inci )

  • Bahagian Kek
  • 1 1/4 cup minyak jagung/minyak masak 
  • 4 biji telur gred B
  • 120 gm gula castor
  • 120 gm gula perang
  • 100 gm walnut cincang ( panggang sebentar)
  • 250 gm tepung high protein (tepung gandum pn ok)
  • 1 tsp baking soda
  • 1/4 tsp garam
  • 1/4 serbuk kulit kayu manis
  • 1 1/2 cup carrot yg telah disagat
  • 1 cup golden raisin
  • 1 tbs susu pekat 
Cream Cheese Frosting
  • 120gm gula icing
  • 250gm cream cheese
  • 120gm unsalted butter (kalo xde unsalted, belasah je la)

Cara-cara

  1. Pukul telur dan gula hingga kembang. masukkan minyak dan susu pekat, sebatikan.
  2. kemudian, masukkah bahan-bahan kering yg telah diayak (tepung, baking soda, serbuk kulit kayu manis dan garam). Kaup balik dengan senduk kayu.
  3. Akhir sekali, masukkan carrot, raisins. Gaul sebati.
  4. Masukkan dlm loyang 9 inci yg telah di alas kertas minyak. Bakar selama 45 minit pada suhu 180C. guna lidi utk pastikan dalam kek masak. 
cream cheese frosting

Masukkan cream cheese, gula icing yg telah diayak, dan butter ke dalam blender. Blend kan semua, dan sapukan di atas kek

Sambutan Hari Inovasi Wilayah Zon Timur

Aha....kali ini kami sekali lagi menyertai pertandingan Inovasi bagi peringkat Wilayah Zon Timur. Seperti biasa, walaupun tak menang tapi masih menjadi tukang sibuk majlis.

Hamba dengan rakan kongsi

Group kawan hamba
Dia dapat nombor 2
Tak aci betul, apsal lah group hamba kalah

Giant Barbie Doll pun masuk bertanding jugak
Tak taulah apa inovasinya
Hanya orang yang memahaminya jer yang tahu

Batman tiruan pun ader
Mungkin lepas ni buleh lah pergi selamatkan orang kalau pakai baju ni

Wednesday, April 27, 2011

Nampak benornya menipu....

Macam-macam caralah manusia kat dunia nak dapat duit. Tak dapat cara halal, cara haram pun okey. Tak dapat cara baik, cara menipu pun okey. Janji boleh dapat duit dengan cara mudah. Email ini saya terima dua tiga hari lepas. Kalau tak kuat iman, boleh goyah juga. Iyalah siapa tak nak peluang perniagaan yang mudah. Cuma tolong dia ni berurusniaga. Saya tolong belikan, lepas tu dia beli semula dari saya. Mudahkan. Tapi macam pelik sikit.

Tapi kalau fikir balik, nampak benornya nak menipu kita. Dimintanya kita beli barang mengarut ni. Kemudian dijanjinya pada kita kononnya dia akan beli semula barang ini dengan tunai. Boleh kelabu juga matakan. Tapi kalau dia tak datang beli daripada kita semula macam mana. Tak pun entah ada ker tidak barangnya pun. Entah-entah urusniaga atas angin sahaja.

Alasan meminta kita berurusniaga dengannya kerana kononnya pembekal di Malaysia kemalangan. Mengarut betul. Kalaulah betul lah pembekal tersebut terlibat dengan kemalangan, mesti ada back-up daripada syarikat tersebut. Tak kanlah pembekal itu hanya seorang diri tanpa ada sesiapa menyokong perniagaannya. Karut betul. Tak logik. Ini jual dadah ke apa. Sampai kena nyorok-nyorok.

Bagi saya, benda macam ini jangan percaya. Kalau boleh jangan baca pun. Sebab mungkin akan terpengaruh. Itulah sebab ramai yang terkena dengan SMS yang menyatakan kita menang duit (tetiba boleh menang, walaupun tak pernah masuk peraduan). Walaupun ramai tahu dah benda ini tipu, tapi masih ramai yang percaya. Kalau ada yang memerlukan kita mengeluarkan modal (duit) sebagai pendahuluan untuk dapat apa-apa, jangan percaya. Memang sah-sah tipu ni.

Salam Sejahtera,

Apa khabar? Terlebih dahulu saya ingin memperkenalkan diri. Nama Saya Noor Hafiza binti Harun dan juga warganegara Malaysia, saya tinggal di London, saya bekerja sebagai Marketing Officer di sebuah syarikat pemprosesan batu mulia di London, United Kingdom. Di sini Saya ingin memperkenalkan kepada encik peluang perniagaan yang besar kenuntungannya, Saya memerlukan bantuan encik dan kerjasama encik untuk memajukan perniagaan ini.saya menghubungi encik kerana saya tidak ingin kehilangan rakan kongsi saya di dalam perniagaan ini. Saya tahu bahawa saya dan encik akan mendapatkan feadah yang baik daripada perniagaan ini di masa akan datang. Sekarang saya hanya ingin encik menjadi pembekal agen kepada syarikat saya bekerja dan encik boleh mendapat keuntungan daripada peluang perniagaan ini. Syarikat saya memerlukan sebuah produk yang disebut (DOLOMITE LIQUID). Para Dolomite Liquid adalah cecair kimia saintifik bar substansi, sejenis pelincir, terutama digunakan di makmal untuk gemological pemurnian merawat atau menerangkan, memasuki ke dalam berlian dan mengewap keluar kotoran di dalam berlian dan batu-batu berharga sepertinya.

Pembekal asal produk ini adalah di Malaysia sehingga lah pembekal produk langsung syarikat KAMI INI mengalami kemalangan di sini London, dia adalah pengurus pemasaran dan sejak dia kemalangan monopoli ini telah tergendala. Saya hanya ingin encik menjadi agen di antara penjual dan pembeli. Ini adalah perniagaan besar untuk saya dan encik dan akan mendapat keuntungan besar. Saya hanya memerlukan kerjasama untuk menjadikan perniagaan ini berjaya. Saya akan memberi anda maklumat lebih lanjut tentang hal ini jika anda bersedia untuk menjadi sebagai agen untuk membekalkan produk ke syarikat kami.

Pertama, saya akan perkenalkan anda pembekal agen kepada syarikat saya nanti. Mengikut peratusan, awalnya harga beli yang sebenarnya produk tersebut oleh syarikat per Carton adalah 4,300.00 USD, sedangkan di Malaysia harga jual tempatan adalah 2,300.00 USD dan syarikat saya memerlukan tidak kurang daripada 200 Cartons. Saya ingin encik menjadi agen link kami yang menghubungkan penjual tempatan di Malaysia secaralangsung kepada syarikat membeli maka margin keuntungan akan digunakan bersama berdua 50% untuk encik, sementara 50% kepada saya.sekiranya encik dapat membantu saya mengurus perniagaan jual beli produk ini saya amat berterimakasih. Kemudian saya akan membincangkan pekara ini bersama pengurus syarikat saya. Saya yakin dan percaya encik boleh menyediakan produk ini kepada syarikat. Di sini juga saya memfailkan butiran dari segi harga dan cara bayaran maka kita boleh mengambil daripada permulaan perniagaan ini. Encik saya mengharap agar encik dapat membalas email saya ini secepat mungkin, agar saya dapat mengemailkan number telephone penjual di malaysia gar encik dapat menghubungi penjual untuk bertanya sama ada penjual tersebut masih mempunyai stock untuk di bekalkan kepada encik. Sebelum syarikat kami akan menghantar pengurus pembelian pergi ke Malaysia untuk membeli produk dari encik secara tunai. Terima kasih atas kerjasama encik, Saya mengharap dan menunggu balasan email daripada encik.

Wassalam...
Noor Hafiza binti Harun


Tapi paling kesianlah kat budak ni. Tak taulah dia buat sendiri atau tidak. Tapi kalau search nama dia di internet, siap boleh keluar resume budak Hafiza ni lagi. Lepasan UTM ni. Tapi rasanya orang dah perguna nama dia sebab segala butiran diri dia dengan mudah boleh diakses di internet. Siap ada alamat tetap dan nombor telefon rumah lagi. Apasal lah pergi upload resume dalam internet ni. Habis semua orang tau. Kalau tak percaya, search nama dia, mesti jumpa.

Kek Pisang

Semalam ada sedikit kerajinan jadi saya mencuba kek pisang yang saya dapat resepinya disini. Dengan menggunakan bahan yang sememang ada di rumah dan cara yang mudah. Tak sampai satu jam, kek pisang telah siap terhidang di atas meja. Sedap, lembut dan gebu. Satu lagi koleksi resepi mudah yang saya perolehi.

Ramuan kek yang telah siap diadun

Kek pisang yang masih dalam proses membakarkan diri
Jeng....jeng dah siap

nyum.....nyum...

Bahan-bahan:
Bahan A
3 biji pisang berangan - di kupas kulit dan lecek
1 sudu teh esen vanilla

Bahan B
1 1/2 cawan tepung gandum 
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh soda bikarbonat

Bahan C
1 cawan gula pasir
1 cawan minyak masak
4 biji telur gred A


Cara membuatnya:

1. Masukkan bahan C ke dalam 'blender'. Kisar adunan selama 3 minit hingga campuran kembang (warna kuning cair)

2. Masukkan adunan ke dalam mangkuk. Masukkan bahan B dan gaul menggunakan whisk hingga sebati. Masukkan bahan A. Gaul sebati. Sementara tu, panaskan oven ke suhu 180 darjah Celsius.

3. Tuangkan adunan ke dalam loyang yang dilenser dengan minyak/ mentega dan dialas kertas minyak. Bakar dalam oven menggunakan api atas dan bawah selama 40 minit atau hingga kek masak. Cucuk dengan lidi dan jika keluar bersih maka kek masak sempurna.
Keluarkan daripada loyang.
Sedia untuk dingap
En Suami menjadi pencuba, sedap dan lembut katanya.
En Suami tidak berapa gemar akan kek atau kuih-muih ni
Sesikit bulehlah
Tapi sebab kek ini dijadikan kuih untuk minum petang semalam, dia ngap juga

Solat Dhuha, Doa dan cara melaksanakan

Ruang waktu dan waktu afdal


Sesuailah dengan namanya dhuha yang bermaksud pagi. Jadi ruang waktunya bermula kira-kira 20 minit selepas terbit matahari atau disebut dalam kitab-kitab fikah sebagai tinggi matahari daripada pandangan jauh sekadar satu al-Rumh atau batang lembing yakni kira-kira dua meter. Waktu solat ini pula berakhir sebelum menjelang waktu Zuhur. Jadi, secara mudahnya dapat difahami bahawa batas waktu solat sunat Dhuha ini antara pukul 7 pagi hingga 1 petang.

Berkenaan waktu afdalnya pula iaitu ketika sinar matahari kian panas berdasarkan sepotong hadis Nabi s.a.w. yang dirakamkan oleh Zaid bin Arqam. Rasulullah s.a.w. menjelaskan: “Solat Dhuha ini afdalnya ketika matahari telah meninggi dan kian panas sinarnya.” Imam Nawawi menghuraikan masa tersebut sebagai masa berlalunya seperempat tempoh siang hari iaitu pukul 10 pagi hingga 1 petang (Kitab al-Majmu’ karangan Imam Nawawi).

Justeru, waktu sedemikian eloklah dilaksanakan solat tersebut, apatah lagi pada saat itu badan memerlukan ‘rehat sebentar’ setelah penat bekerja. Maka disarankan juga sekiranya masa tersebut diisi sekadar empat hingga lima minit dengan sujud menyembah Ilahi sama ada di rumah atau di tempat kerja dengan syarat tidak mengetepikan perkara-perkara atau urusan yang wajib dan utama daripada yang sunat.

Cara melaksanakannya

Banyak bahan media cetak yang boleh dirujuk bagi mengetahui cara melakukan solat sunat Dhuha ini merangkumi bacaan-bacaan dalam solat hinggalah dalam sujud dan doa setelah selesai ibadat tersebut.

Cuma secara asas dan mudahnya berdasarkan hadis-hadis Nabi, solat sunat Dhuha ini dilakukan seperti solat-solat lain, cuma bacaan yang dianjurkan Baginda s.a.w. selepas al-Fatihah, menurut hadis yang disampaikan oleh Uqbah bin Amir, ialah surah al-Syams pada rakaat pertama dan al-Dhuha pada rakaat kedua. (Riwayat al-Hakim)

Namun begitu, perkara (bacaan dalam solat) ini adalah sesuatu yang subjektif dan tidak statik. Maka tidak perlulah hanya terikat dengan kaifiat tertentu dan bacaan tertentu. Apa yang penting, solat tersebut diniatkan dengan betul, syarat-syaratnya dipenuhi dan rukun-rukunnya disempurnakan sebaik-baiknya. Begitu jugalah dengan doa selepas solat tersebut.

Doa yang disarankan

“Ya Allah bahawasanya waktu duha itu waktu duhamu, kecantikan itu ialah kecantikanmu , keindahan itu keindahanmu, kekuatan itu kekuatanmu ,kekuasaan itu kekuasaanmu dan perlindungan itu perlindunganmu. Ya Allah jika rezekiku masih di atas langit , turunkanlah dan jika ada di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar mudahkanlah, jika haram sucikanlah. ,Jika masih jauh dekatkanlah. Berkat waktu duha, keagungan, keindahan, kekuatan dan kekuasaanmu, limpahkanlah kepada kami segala yang telah engkau limpahkan kepada hamba-hambamu yang soleh”


Kepada orang yang tidak menghafal surah-surah yang disarankan iaitu surah al-Syams pada rakaat pertama dan ad-Dhuha pada rakaat kedua. Bacaan solat boleh dibaca apa-apa surah yang penting niat kita adalah IKHLAS untuk Allah SWT, bukan kerana berkehendakkan harta dan rezeki yang banyak tetapi salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah…

Kita rujuk kepada Hadith Qudsi yang mengatakan, Firman Allah, “ Wahai anak-anak adam (sebut-sebutkan) zikirkan akan AKU selepas sembahyang subuh barang sekejap dan selepas sembahyang asar barang sekejap, maka AKU cukupkan engkau apa yang ada diantara dua waktu tersebut maka apabila naik matahari sembahyang dhuha sebanyak lapan rakaat”

Pada rakaat pertama bacalah ayatul kursi kerana ayutul kursi terlalu banyak keistimewaannya, semasa suruh itu diturunkan beribu-ribu malaikat sebagai perantaranya. Didalamnya juga terkandung KURSI (kerajaan) ALLAH yang sangat besar meliputi 7 lapisan langit dan bumi. Ada 95 buah hadish yang menerangkan akan fadhilat ayutul kursi.

Rakaat kedua bacalah surah Al-Ikhlas sebab surah Al-Ikhlas merupakan 1/3 dari Al-Quran. Surah yang cukup besar maknanya sebab mengandungi sifat-sifat Allah yang Esa dan siapa Allah yang sebenar iaitu yang tidak beranak juga tidak diperanakkan dan tidak ada yang serupa denganNYA. Dua surah ini sudah cukup bagi yang tidak menghafal surah yang disarankan.

Berkenaan doa… boleh baca doa mana-mana yang berkaitan tetapi lebih afdal baca doa solat dhuha yang khusus… doa itu sememangnya cukup baik dan sempurna untuk memohon keberkatan rezeki dari ilahi… Manakala bilangan rakaat pula adalah mengikut kemampuan. Bila masa terhad dengan kerja seharian boleh dilakukan dengan 2 rakaat dan bila waktu cuti lakukanlah dua-dua rakaat sehingga 4, 6 atau 8 rakaat dan boleh sehingga 12 rakaat. semua mengikut kemampuan… Amal yang sedikit dan istiqamah (berterusan) adalah lebih baik dari amal yang banyak tetapi jarang-jarang… fikir-fikirkan… semoga dengan membudayakan solat dhuha, kita akan lebih disayangi oleh Allah SWT dan sentiasa didalam naunganNYA.. ameennn…

sumber : solat dhuha

Tuesday, April 26, 2011

Kepercayaan karut - tidak boleh memancing ketika hamil / mengandung


Saya dan En Suami sedang memancing
Si Angah pun nak mancing juga
Bukan pancing pun, cuma tukang sebok

Tahun lepas, ofis saya telah mengadakan pertandingan memancing di satu kolam (nama kolam tak ingat) di Kampung Pandan, Kuantan. Tak perlu bayar, cuma peserta diminta untuk membawa peralatan memancing dan umpan sendiri. Jadi kebetulan ketika itu saya sedang mengandungkan Arissa dalam 3-4 bulan.

Jadi suami saya kata, "Tak perlulah pergi. Awak tu kan tengah mengandung. Jadi apa-apa nanti macam mana".
"Nak jadi apanya. Kita bukan nak pergi menyiksa binatang. Kita cuma nak pergi pancing ikan untuk dimakan. Bukan apa pun", kata saya degil.
"Tak pe ker. Kata orang masa isteri sedang mengandung, suami atau isteri itu sendiri tak boleh memancing. Takut nanti mulut anak tu sumbing", kata suami saya.
"Pa, kalau anak tu nak jadi apa-apa bukan disebabkan kita memancing tu. Dah sememangnya kejadiannya itu telah ditentukan oleh Allah. Kalau dia sihat dan sempurna, Alhamdullilah. Kalau sebaliknya nak buat macam mana. Redha sahaja. Sudah ketentuan Allah. Memanglah semua orang nak anaknya sihat dan sempurna. Tapi nak buat macam mana. Bukan kerja kita", kata saya.
"Habis tu, kita nak salahkan ibu bapalah kalau dapat anak yang kelahirannya sakit dan tidak sempurna. Adakah semua anak yang dilahirkan tidak sempurna disebabkan oleh ibu atau bapa dia pergi memancing. Habis tu kalau dah memang kerjanya nelayan, tak perlulah pergi kerja", sambung saya lagi.
"Itu dah memang kerja dia sebagai nelayan. Itu lain. Tapi kita ni memang sengaja", kata suami saya lagi.
"Itu syiriklah pa. Menduakan Allah namanya kalau kita lebih percayakan yang karut ni daripada ketentuan yang telah dibuat olehNya", kata saya lagi. Degilkan.

Jadinya, selepas keluar hujah-hujah (sebab nak ikut sangat) kami pun pergi sekeluarga. Dengan syarat suami saya, "Karang awak jangan memancing pulak. Tengok ajer dari jauh". "Orait bos", kata saya lagi sambil tersenyum lebar.

Sampai sana, mula-mula memang saya menurut perintah. Duduk jejauh. Tak lama lepas tu mula mendekat. Alasannya, Angah nak tengok papa memancing. Bila dah dekat, saya pun capai pancing yang suami saya sengaja bawa lebih. Kununnya nak pasang lebih pancing. Rupanya tak dan. Sebab ikan kat sini kebuluq belaka. Pantang letak umpan, terus disambut hangat. Jadi jaga satu pancing pun dah tak menang tangan nak mengangkatnya. Jadi saya diam-diam terus memancing. Dapat pula tu walaupun tak banyak (amatur lah katakan). Suami saya bila dia tengok saya dah dapat ikan, malas dah dia nak tegur. Degil kata dia.

Kawan saya kata, "Kalau kau pancing nak makan, takpe lah. Bukan nak menyiksa binatang". "Ya betul", kata saya lagi. Jadi dapatlah saya 2-3 ekor ikan tilapia kecik. Lepas tu terduduk atas kerusi, sebab penat berdiri.

 Wajah keletihan selepas tamat sesi memancing ikan.

Kebetulan masa sedang memancing tu, rakan suami saya telah mendapat seekor ikan yang cacat ekornya. Dimana ekornya bengkok, mungkin sebab pernah patah kut. Jadi semua orang tak nak sebab dia cacat. Saya apa lagi bila dah tengok ikan cacat ni, mulalah rasa seram. Terus menjauh dari ikan tersebut. Takutlah kununnya. Takut tersampuk atau terkenan. Apalah....percaya sangat. Sebenarnya saya sebolehnya tak nak percaya, tapi hati kecil saya masih berkata-kata tentang hal tersebut. Sambil Pn Hati ni duk takut-takutkan saya.
Ikan yang saya tak tau namanya.
Ikan yang tiga dari bawah tu tak taulah sama ada memang dikurniakan dengan ekor yang cacat atau pernah patah.
Tapi Alhamdullilah. Arissa dilahirkan dalam keadaan sihat sejahtera. Saya panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah. Walaupun tak percaya, namun ada sekelumit rasa cuak juga di hati saya. Kalau jadi betul, macam mana. Itu sebab bila pergi scan 4D pada umur kehamilan 7 bulan, saya ada rasa sedikit cuak. Tapi Alhamdullilah. Sampaikan doktor tu tolong kirakan jumlah jari, ukur panjang kaki sama ke tidak.


Hasil tangkapan ikan tilapia.
Walaupun tak sebanyak orang lain, tapi bagi saya banyak juga ni.
Kerana anggaran dalam 10-15 ekor.
Saya goreng garing, sebab suami saya tak berapa makan ikan air tawar (ikan darat).
Tapi bila dah digoreng garing, okey pulak dia makan. Sedap kata papa.
Bagi saya, segala kejadian telah ditentukan oleh Allah. Walaupun apa yang kita buat, Dia penentu segalanya. Kalau anak kita itu tidak sihat, bukan salah kita. Ini pun jika kita tidak melakukan atau makan sesuatu yang salahlah. Jika kita memang sengaja (contoh untuk menggugurkannya ker), memang salah kita lah.

 Buah mengkudu yang banyak terdapat di atas pokok tepi kolam






Monday, April 25, 2011

Ikutlah resmi padi......

Pagi tadi kebetulan berjumpa dengan Pakcik Guard yang tolong jaga kolej kami ini. Sementara saya mengisi borang-borang apa yang patut, suami saya duk berbual dengan Pakcik Guard ni. Mula- mula saya buat endah tak endah jer perbualan mereka. Namun apabila dia mula bercerita hal pelajar-pelajar kat sini, saya pun menelinga sekali.

Bukan apa. yang dia kesalkan ialah sikap biadap anak-anak pelajar ni. Mentang-mentanglah dia cuma guard disini, semua tidak hormat pada dia. Siap ada yang mengejek-ngejek akan kerjanya. Sampaikan minta pakcik ni tolong bukakan pintu. Selepas di tolong, terus jer menonong pergi. Tanpa ada ucapan terima kasih ker, tak pun kalau senyum sikit apa salahnya.

Ye, mungkin dia tidak berpelajaran. Mungkin dia hanya seorang jaga yang mungkin pendapatannya tidak sebanyak manapun. Dan mungkin dia tak tau apa-apa pun tentang kita. Tapi sekurang-kurangnya hormatilah dia kerana umurnya, kerana kerjanya menjaga kita dan harta benda kita.

Cuba bayangkan kalau bapak kita dibuat oleh orang lain seperti itu. Mesti darah dah naik ke kepala. Mulalah nak marah, kata tak reti hormat orang. Jadi kalau nak orang hormat kita, kita kena hormat orang lain.

Buat apa nak menyombong diri. Padahal perjalanan hidup kita pun belum tahu lagi. Adakah kita selamanya akan senang seperti ini. Fikirlah.

Saya ada pengalaman dengan seorang pelajar ni. Dia ni memang panas baran orangnya. Kebetulan rakan saya tidak membenarkan dia masuk ke kelas kerana dia telah lewat tiba ke kuliah. Jadi mengamuklah pelajar tadi. Siap memaki hamun. Tendang pintu. Meroyan ker apa. Sampaikan ayah pelajar tadi apabila di panggil oleh pihak kolej untuk menceritakan kisah anaknya, tapi malangnya si ayah ini menyokong tindakan si anak. Bukan nak membetulkan anaknya, tapi menyokong pula. Hormatnya pada kami memang melayanglah. Akhirnya, dia berhenti pengajian.

Terkini saya dapat tahu bahawa pelajar ini tadi telah telibat dalam kemalangan jalan raya. Dimana telah mengakibatkan kedua-dua kakinya tidak boleh berfungsi lagi seperti biasa. Dalam kata lain, kakinya hampir lumpuh walaupun masih boleh berjalan tetapi hanya seketika. Jadi nak bekerja dah tak boleh kerana kaki dah tak kuat. Saya tahu pun kerana kebetulan saya menonton tv dimana terperasan pelajar ini sedang merayu pembayaran perkeso padanya.

Jadi hilang sudah kelebihan kaki padanya yang digunakan untuk menendang pintu kelas kawan saya tadi. Jadi beringatlah. Cubalah hormat orang lain. Walaupun dia itu cuma pengemis di tepi jalan. Walaupun dia itu hanya tukang cuci jamban di sekolah kita. Siapapun mereka, mereka wajar dihormati. Jika bukan kerana pangkat atau hartanya, sekurang-kurangnya mereka ini masih manusia.

Sunday, April 24, 2011

Kek Coklat Kukus

Semalam ada sedikit kerajinan untuk mencuba kek coklat kukus yang saya dapat resepinya di sini. Kek coklat memang mempunyai banyak variasi dan resepi. Saya sudah pernah mencuba 3-4 resepi kek coklat yang berbeza. Dan hasilnya pun berbeza. Bagi saya kek coklat yang ditambah dengan susu pekatlah yang paling best.

Kek coklat kukus yang telah tinggal separuh
Walaupun tanpa topping, masih jalan

Dengan fresh cream

Bahan A
1 cawan serbuk koko
3/4 cawan minyak masak
1 sudu besar margerin
1 cawan susu cair
1 cawan gula

Bahan B
1/2 cawan susu pekat
3 biji telur A- dipukul guna 'whisk' hingga kembang sedikit

Bahan C
1 1/4 cawan tepung gandum
1 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu teh baking powder
Cara membuatnya:
1. Masukkan semua bahan A di dalam periuk. Masak di atas api perlahan sambil dikacau hingga gula hancur dan bahan sebati. Ketepikan seketika hingga adunan agak suam.
2. Panaskan pengukus. Gunakan api kuat.
2. Campurkan bahan A dan B . Kacau sebati. Kacau menggunakan 'whisk' agar mudah sebati.
3. Masukkan tepung yang telah diayak bersama baking powder dan soda bikarbonat tadi sedikit demi sedikit sambil dikacau dengan whisk. Pastikan sebati dan tidak berketul-ketul.
4. Tuangkan ke dalam loyang yang telah digris dengan mentega. Kukus selama sejam.
Hasilnya amat memuaskan. Lembut. Sehingga pagi ni, kek itu masih lembut. Saya tak letak toppping sebab tak nak muak. Sebab dah biasa buat kek ni, jadi anak-anak pun pandang sebelah mata jer. Biasanya kalau saya letak topping, anak-anak bukan makan kek, tapi duk makan toppingnya jer.
Ini satu lagi koleksi kek mudah saya.

Saturday, April 23, 2011

Pulut Kuning

Sebab hari ini saya perlu bekerja, jadi untuk sarapan pagi saya pilih yang mudah dan mengenyangkan. Selain memudahkan suami saya untuk memberi anak-anak makan. Anak-anak saya kalau pulut kuning memang jadi kegemaran. Sehinggakan Si Abang pagi tadi tamak mengambil penuh sepinggan. Dia tak tau agaknya, pulut mana boleh makan sekali gus banyak-banyak. Pulut cepat muak.

Jadi bangun jer tidur pagi tadi terus kukus pulut yang telah direndam semalaman. Hasilnya cukup menyenangkan kerana pulutnya lembut. Saya pernah mencuba pulut kuning stail tanak (masak seperti masak nasi dalam periuk nasi). Tapi hasilnya kurang memuaskan kerana walaupun lembut tapi berasnya jadi hancur kerana perlu kerap dikacau. Kalau tidak dikacau, bahagian bawah pulut akan hangus kerana menggunakan santan.

Jadi untuk lauknya, saya masak sambal ayam. Memang maveles lah....
Resepi pulut kuning saya ambil disini di sini

Pulut kuning bersama sambal ayam
Nyum...nyum...
Walaupun pulutnya kurang kuning, tapi bolehlah
Mungkin kurang kunyit kut...

Pulut Kuning

Bahan-bahan

1 kg pulut
400 ml santan pekat (jangan campurkan air)
2 helai daun pandan
1 st serbuk kunyit
garam secukup rasa

Cara-cara
  1. Rendam pulut bersama serbuk kunyit lebih kurang 1-2 jam atau sehingga pulut bertukar warna kuning
  2. Cuci dan toskan pulut dan kukus hingga 1/2 masak
  3. Setelah 1/2 masak keluarkan dari kukusan dan masukkan dlm bekas. Kemudian tuangkan santan yang dicampurkan secukup garam ke dalam pulut tadi dan gaul hingga rata
  4. Masukkan semula ke dalam kukusan dan kukus hingga masak
Sambal ayam

Bahan-bahan
1/2 ekor ayam - dipotong kecil dan digoreng setengah masak
3 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
8-10 biji lada kering
1 sudu kecil asam jawa adabi
sedikit kicap manis
garam dan gula secukup rasa

Cara-cara
1. Blender bawang besar, bawang putih dan lada kering.
2. Tumis bahan yang diblender tadi sehingga garing. Setelah agak garing tambahkan sedikit kicap (supaya berwarna kehitaman) dan sedikit air asam jawa.
3. Masukkan ayam, kacau sebati.
4. Perasakan garam dan gula. Boleh diangkat

Friday, April 22, 2011

Wah.....esok hari Sabtu lagi

Bestnya esok adalah hari yang ditunggu-tunggu. Kerana apa, kerana hari esok adalah hari yang kununnya hari cuti. Hari Sabtu. Pada hal, walaupun esok hari Sabtu saya masih kena kerja esok. Hari Ahad pun kerja. Jadi bagaimana yer. Tapi sebab dah set fikiran hari Sabtu dan Ahad adalah hari paling best. Jadi walaupun kena kerja, masih happy. Tah apa-apa.

Itulah namanya manusia. Kalau hari Isnin mula jer nak buat muka tempe. Mula jer nak ngamuk-ngamuk dekat pelajar. Padahal bukannya duduk saje kat rumah pada Sabtu dan Ahad ataupun hari cuti. Takde lah pula masa bercuti tu nak badmood. Malah boleh gelak besar lagi. Kalau ikutkan hakikat sebenar, pergi jenjalan lagi penat. Ke hulu, ke hilir. Sanggup pula jalan kaki. Kalau pergi window shopping lagilah. Rasanya berjalan kaki boleh cecah 4-5 kilometer. Kalau tak percaya boleh beli alat ukur dekat farmasi yang boleh ukur jarak kita dah jalan.

Kalau pada hari bekerja, kita cuma duduk terperap di atas kerusi. Habis tinggi pun adalah naik sekali atau dua kali tangga. Kalau guna tanggalah. Kalau ada lift boleh ucap babailah pada tangga kan. Kebetulan dekat ofis saya tak ada lift. Jadi nak ke tak nak kena juga lah daki tangga. Okeylah tu kan. Kalau nak harap saya bersenam secara sukarela, maafkanlah. Baik saya golek-golek depan tv. Peluh tak keluar.....kui...kui....Penat tak dapat. Tapi boleh dapat hadiah percuma lagi iaitu....lemak berlebihan dekat pinggang, pipi, peha dan sewaktu dengannya.

Jangan kata saya, En Suami pun dah mula mewarisi perut buncit saya. Ha...ha.....pergi main futsal selalu tapi macam takde kesan jer. Mana tidaknya, suami saya walau bertubuh kecil tapi makan banyak. Contohnya, kalau sahur pada bulan puasa dia boleh tambah nasi. Saya kalau pepagi tu, nak buka mulut pun payah. Jangan kata nak telan, tengok nasi pun dah macam bantal busuk. Anak bujang saya lagilah, makan nasi sambil menangis sebab tak de selera pepagi tu. En Suami boleh rilek jer makan. Macam makan berbuka pula. Kalau lauk best takpe jugak. Ini lauk telur goreng pun jalan...Agaknya kalau saya masak lebih sedap tak taulah berapa pinggan pulak nasi dia tambah pagi tu. Mujur juga saya ni tak pandai masak. Kalau tidak bertambah gemuklah kami.

Kebetulan En Suami baru pulang dari berkursus minggu lepas. Kursus nya pasal kecergasan. Apa lagi dah tentu ada slot untuk mengira kalori dalam makanan. Ini yang saya paling tension. Sedang saya makan, boleh dia bawak kalkulator untuk kira berapa kalori yang saya sedang dan akan makan. Ini boleh mendatangkan marah.....kui...kui....Saya paling tak gemar kalau sedang saya makan orang bercerita tentang diet ker, tentang nak kurus ker, tentang kesihatan ker. Ikut suka lah....Nanti lepas makan, saya pergilah lari keliling kawasan perumahan ni (kunun...rajin sangat lah awak tu).

Sebenarnya, kurus belum bererti sihat. Dan kalau gemuk tu sudah semestinya tak sihat. Dikala ini tak taulah nak kata apa. Tapi selera makan saya memang sedang terbuka dengan luas dan rakusnya. Pernah sekali selepas makan sepinggan nasi, saya masih boleh menyelesaikan makan goreng pisang pula. Banyak pula tu.

Ini semua salah budak yang jual goreng pisang bawah ofis saya (helah bela diri, nanti takdelah orang salahkan saya). Sebab bau goreng pisang dia naik sampai ke atas ofis saya. Tak kanlah saya nak telan air liur je kan. Baik saya telan goreng pisang. Kalau dia tak menjual, mesti saya tak beli. Mesti saya tak makan banyak. Tapi nak buat macamana, dah pisang goreng dia sedap....hailah....Untuk pengetahuan Adik Penjual Goreng Pisang, lain kali janganlah goreng pisang tu sedap-sedap. Buatlah tak sedap. Nanti akak mesti tak beli dah. Nanti kurang sikitlah kalori akak ni. Kesianlah kat akak ni.

Jadi kesimpulan karangan darjah enam saya ini, bersenamlah untuk kesihatan anda. Kalau nak panjang umur amalkan bersenam. Kalau nak pendek umur, lepas makan kenyang-kenyang tahap gaban, lepas tu tergolek depan tv. Lepas tu boleh tidur dari balik kerja sampailah pagi esoknya. Lepas tu makan banyak-banyak semua yang sedap dan tak berkhasiat seperti aiskrim, coklat, gula, garam dan seangkatan dengannya. Kesannya mesti tak lama. Seminggu pun dah okey. Mesti ukur lilit pinggang dah bertambah, peha makin melebar. Jadi usaha nak pendek umur tu akan tercapai dalam masa terdekat. Tak pun dah boleh tempah siap-siap hospital mana nak duduk. Kalau nak ambil insuran pun kena cepat-cepat. Takut nanti tak sempat. Sebab kalau dah ada penyakit 3 serangkai tu, pihak insuran dah tak nak. Nanti kesian kat orang yang ditinggalkan. Tak boleh joli katak hasil duit pampasan insuran tu selepas kita mati. Lagi satu pastikan insuran ada penama. Kalau rasa-rasa masih tak tau nak letak siapa penama atau tak ada calon yang sesuai untuk diletakkan sebagai penama, saya secara sukarela menawarkan diri. Jangan malu-malu yer.

Thursday, April 21, 2011

Saya pun nak sistem audio cam ghini

Pagi tadi saya dan suami mencuri masa untuk memenuhi undangan majlis pengisian borang di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Alhamdulillah, saya disambut meriah oleh masyarakat di LHDN. Walaupun tanpa karpet merah, namun saya masih diraikan. Seperti biasa, bila dah dekat tarikh tutup barulah kami terkocoh-kocoh hendak mengisi borang. Padahal kena isi online. Tapi sebab isi setahun sekali, jadi paswordnya terlupa. Lainlah kalau isi hari-hari kan. Jadi nak mudahkan kerja kami isi di LHDN jer. Mudah sebab kalau ada kesulitan boleh bertanya pada pegawai yang semuanya ramah mesra.

Jadi sebab tak ramai, sekejap sahaja dah siap. Lagipun bukan banyak pun pendapatan yang ada. Jadi mudah kerja. Kebetulan cermin kereta pecah 2 minggu lepas. Jadi selepas diganti, masih tiada tinted. Jadi kesempatan yang ada digunakan untuk meng"tinted" kan kereta comel saya tu.

Sambil Cina tu pasang, sambil saya berjalan-jalan dalam bengkel dia. Terjumpalah kereta ni. Banyak duit budak ni kan. Sanggup berhabis untuk sistem bunyi yang hebat. Kalau sayalah, tak sanggup. Cukuplah dengan sistem bunyi yang sedia ada. Itupun dah cukup membingitkan. Asalkan berbunyi sudah. Kalau tak berbunyi mungkin saya akan upgrade jadi seperti ghini jugak. Kui...kui.... Boleh sambil bawak kereta, sambil buat konsert live.

Tinggal seciput jer ruang untuk barang
Agaknya kalau beli tulang rusuk kambing di Giant, nak letak kat mana yer.
Mungkin kena ikat di atas bumbung kut

Ha.....ambik kau
Langsung takde kawasan/ruang untuk penumpang
Pepaham jerlah, memang dia tak suka kau orang tumpang kereta dia.
Patutlah selama ni muka cam tempe jer kalau orang lain tumpang.
Lepas ni tak merasa dah kau nak tumpang.
Sorry yer, untuk awek jer

Ini rumah ker kereta
Kalau saya ada duit yang memang dah tak tau apa nak guna, barulah saya beli menatang ni.
Iyelah....kut-kut selama ni suami saya ada bakat terpendam nak menyanyi karoeke.
Bolehlah guna kemudahan ni....

Wednesday, April 20, 2011

Cek Mek Molek

Wah...kebetulan tiba kerajinan hendak membuat kuih. Jadi kuih yang senang dicari resepi. Jadi selepas mengadakan mesyuarat tingkap, hantar proposal, pemilihan proposal....maka kuih cek mek molek dipilih. Sebab apa, sebab senang. Cuma perlu kupas, potong, rebus, lenyek, uli, golek. Dah siap.

Aduanan yang telah siap diuli

 
Cek Mek Tak Molek yang telah siap diadun
Walaupun tidak berapa comel, tapi okeylah kan (hendak sedapkan hati sendiri)

Cek mek yang sedang berenang-renang dalam kuali

 

Sedia untuk dingap


Terputus bekalan air lah pulak

Sejak dari pagi lagi bekalan air paip di rumah terputus. Tapi saya tak taulah pulak sampai JBA kena sediakan tangki air. Nampak benar lambat lagi ada air dekat rumah.
Kalau dekat rumah saya, okey jer. Sebab kami tak ada dirumah. Dan penduduk dalam rumah kami juga kurang menggunakan air kerana masih kanak-kanak ribena.
Tapi, saya lihat berpusu-pusu orang kampung mengambil air. Saya dah cuak juga. Takut juga. Takut kalau-kalau seminggu tak ada air dirumah.
Harap-harap idok ler...

Tadah jangan tak tadah yer

Ha...sampai boleh buat mesyuarat tingkap lagi
Bincang apa tu
Politik ker

Sambil tunggu abang balik sekolah, sambil memerhati sekeliling

Luahan hati di Facebook

Facebook....satu nama yang tidak asing lagi. Bukan budak sahaja malahan bapak budak, mak budak juga terlibat. Malahan anak-anak kita yang baru berumur 6 tahun pun sudah tahu berfesbuk. Suatu perkara yang sudah menjadi kebiasaan. Sampaikan kalau satu hari tak buka fesbuk, boleh demam. Tak pun makan tak kenyang, tidur tak lena, mandi tak basah. Bagi yang ketagih boleh diibaratkan makan fesbuk, tidur fesbuk, mandi fesbuk. Fesbuk......hmmmm....

Lantaran itu, jika ada undangan majlis perkahwinan pun mengunakan fesbuk. Dah jimat stem. Tapi kurang enaklah kalau tak dapat kad sebenar. Nampak benar kita ini cuma tempelan majlis. Merajuklah pulak. Ajak-ajak ayamlah katakan.

Malahan anak saya yang berumur 8 tahun sibuk minta saya buka akaun fesbuk untuk dia. Cuma saya rasa belum masanya lagi. Sampai masanya nanti, hang buatlah sendiri.

Yang bestnya, kita boleh berjumpa semula dengan rakan-rakan yang telah lama tidak berhubung. Barulah tahu bahawa si Siti ni dah anak 2, si Aiman masih bujang tapi terlajak, si Aliah dan janda, si Iman dan Innalillah. Bagi yang telus dan jujur akan ceritakan semua tentang diri. Sampaikan kerja, alamat rumah, dan sebagainya yang sulit boleh diketahui dalam fesbuk. Jangan sampai nombor kad pengenalan pun letak, cukuplah. Jadi saya tidak perlu berjumpa untuk mengetahui perkembangan dirinya. Ini kerana ada yang cukup rajin meng'update'kan segala aktivitinya.


Yang tak bestnya fesbuk ni ialah bab luahan hati. Saya bukan apa, kalau sampai nak minta apa-apa pada suami pun kat sini, apa cerita. Nak bagitau semua oranglah yang kita ada suami yang penyayang dan prihatin. Kunun.... Ada tu, siap bergaduh lagi dalam fesbuk. Luahan cinta itu biasa. Sampai nak termuntah pun ada. Bercerita lucah pun ada. Apa da....

Bagi saya kalau nak cerita sikit-sikit bolehlah. Tapi janganlah sampai semua cerita dalam kain pun hendak diceritakan. Semua benda yang kita rasa kita jer mampu beli, nak tunjuk pada orang. Semua tempat menarik yang kita jer pernah pergi nak eksyen dengan orang lain.

Nak tunjuk boleh tapi berpada-pada. Merendah diri lebih baik daripada mengagungkan diri sendiri. Kadang-kadang jelek juga kalau terlebih sudah.

Tuesday, April 19, 2011

Menu tengahari ......macam ada yang tak cukup

Ini adalah hidangan untuk makan tengahari keluarga saya untuk hari ini. Dengan peruntukan masa yang terhad, jadi saya hanya sempat sediakan ayam goreng kunyit, goreng sayur tauge halus dan kerabu mangga sempoi. Sekejap sahaja sudah siap.

Ayam goreng kunyit

Goreng tauge halus


 
Kerabu mangga sempoi

Semua sudah sedia di atas meja, cuma tunggu untuk di ngap....

Tapi...macam ada yang tak cukup jer...
Oh...terlupa akan nasinya
Maka, ambil pinggan...buka tutup periuk....

Jeng...jeng.....
Saya terlupa nak tekan 'cook'
Jadi nasi saya masih lagi beras.
Jarum jam hampir menunjukkan pukul 2.00 pm, maka lewatlah saya ke ofis hari ni.
Nasi punya pasal....

Jiran sebelah rumah - part II

Saya bengang betul dengan jiran sebelah rumah ni. Apa tidaknya anak dia terlalu nakal. Sehinggakan boleh mendatangkan angin kus-kus pada saya dan En Suami. Mujur tak kena heart attact. Kalau tidak dah ke hospital lah kami ni.

Bagi saya budak-budak, biasalah kalau nakal. Cuma kita sebagai mak bapak ni kena lah kontrol anak kita. Supaya mereka boleh berinteraksi dan bermain dengan anak orang lain dengan berhemah. Tapi kalau kita tidak boleh kawal anak, dan kita jangan marah kalau orang lain yang cuba mengawal anak kita.

Alkisahnya, petang Sabtu tersebut anak-anak saya bermain di porch kereta. Tak semena-mena melayang seketul batu dari rumah sebelah. Mujur tak kena kepala anak saya. Kalau kena, mahu bocor jugalah. Bukannya pasir kecil, tetapi batu. Itu yang saya tension sangat tu.

Lepas tu diikuti dengan beberapa biji batu lagi. Saya bisinglah, "Eh...apa baling-baling batu ni. Kena orang nanti". Tujuannya agar menarik perhatian emak budak tersebut yang mungkin sedang bergolek-golek sambil menonton filem hindustan. En Suami ketika itu sedang mengapur kasut si abang. Dia hanya memerhati.
Antara hasil balingan si Adam ni.
Adam...Adam.... namamu tak seindah perangaimu
Sabar jerlah.....

Saya ingat bila saya dah bising, emaknya akan keluar. Ini tidak, dibiarkannya. Aduhailah.....jiranku sayang. Macam-macam lagi yang dibalingnya. Antaranya sepit baju, besi, tanah, penyangkut baju. Kesimpulannya, apa yang ada di sekelilingnyalah. Kalau dah habis semua barang dibalingnya, sanggup masuk semula dalam rumah ambil mainan pula. Malahan selipar dia pun dibaling. Berlengkung-lengkang atas kereta kami. Ini boleh mendatangkan marah.....

En Suami yang dah tak tahan, bawa hanger kununnya nak takutkan budak tu. Sekali mak dia nampak. Apa lagi ngamuklah mak dia. Barulah terhegeh mak dia nak ambil tindakan. Dibantainya budak tu sambil mulutnya pot..pet... Marahlah kunun. Lepas tu diheretnya budak tu masuk ke dalam rumah. Kesian Adam. Lepas tu emak dia keluar, buka pagar macam nak cabut pagar jer. Saya kata kat En Suami,"Dia bukan marah kat anak dia, tapi dia marah kat kita". "Memang pun", kata En Suami.

Hakikatnya, kalau dia kawal anak dia ketika bermain, tentu perkara ini tidak terjadi. Jangan salahkan orang lain. Takkanlah saya nak kurung anak saya dalam rumah semata-mata nak bagi anak dia bermain. Anak-anak saya pun lasak dan nakal. Tapi bisalah budak. Mereka perlukan pemantauan. Bukan main lepas jer. Kalaulah saya atau suami main lepas aje anak-anak bermain di luar, ada yang dah terjun dalam longkang. Ada yang dah berenang kuak-lentang dalam longkang tu. Tak pun merayau sampai ke sawah belakang rumah.

Anak-anak ni perlu dikawal dan ditunjukkan hala tuju mereka. Bukan main lepas jer. Akal kanak-kanak berumur bawah 4 tahun ni masih tidak dapat menilai mana baik mana buruk. Mana orang marah, mana orang tak marah. Mana yang selamat mana yang tidak. Kitalah kena guide dia.

Ini tidak, tahu nak marah jer. Saya cuba muhasabah diri sendiri. Dan saya harap mak dia pun muhasabah diri.

Haq dan Ulang tonton Hantu Kak Limah Balik Rumah

Alkisahnya......seperti yang sudah maklum, Sabtu lepas adalah hari dimana kami sekeluarga terperuk di rumah. Segala aktiviti di bekukan pada hujung minggu tersebut. Namun En Suami masih sempat mencelah masa yang diperuntukkan dengan membawa anak-anak belajar berenang di Wisma Belia. Dapatlah dalam 2 jam berenang. Walaupun cuma 2 jam, namun apabila anak-anak saya balik dengan membawa hasil kulit yang hangus seperti terbakar. Apa tidaknya, cuaca di kala ini adalah amat panas dan terik serta kering.

Jadi daripada duduk saja dan hanya menonton wonderpet atau Ben10 Alien Force, kami mengulang tonton HKLBR. Mulanya tengok Jumaat malam Sabtu. Namun CD problem pulak. Jadi tonton full version pada hari Sabtu. Dua kali pulak tu. Tak bosan. Kenapa dua kali? Ini disebabkan anak saya nak ulang tengok bomoh Wak tu bersilat. Seriusnya, cerita ni walau dah tengok berulang kali, masih tak bosan. Masih menghiburkan. Masih boleh menbuatkan saya/kami ketawa (terutama part Bomoh Wak tu kena tampar dek Kak Limah). Dan jika diberi peluang lagi, saya masih boleh menontonnya lagi. Kelakor habis.

Kak Limah
Patutlah Usop Wilcha kini amat glamer. Apa tidaknya, gayanya itu menjadi ikutan (nampak benornye menipu). Malahan anak-anak saya pun dah mengikut gaya tangannya itu. Memang satu cerita yang amat best. Saya jarang mengagumi sesebuah cerita tempatan. Sebab plotnya, biasanya sama sahaja. Dan boleh agak kesudahannya. Ending sesuatu cerita pulak, biasanya sama. Kalau tak kena barah otak, mesti kemalangan lepas tu mati. Kemudian mesti ada adegan dalam bilik tidur yang menyebabkan cerita tersebut tidak sesuai ditonton sekeluarga.

Kami juga sempat menonton filem HAQ malam itu. Filem ini kurang mendapat sambutan. Namun menurut hasil pembacaan saya, cerita ini amat hebat. Dan tidak tahu kenapa tidak mendapat sambutan.


Jadi selepas menonton saya boleh agak kenapa filem ini tak laku. Yang pertamanya cerita ini amat perlahan. Dalam erti kata lain, amatlah bosan. Sampai anak-anak saya minta tukar ke filem HKLBR. Terlalu perlahan. Cuma sesekali menggempakkan apabila Haq berlawan dengan Bad. Keduanya, filem ini mengandungi sceens yang mendebarkan sukma, dimana terdapat aksi romantik keterlaluan antara Bad dan Nanu (tak ingatlah pula apa nama Nanu dalam cerita ini). Jadi kanak-kanak tidak sesuai menontonnya. Jadi bila sampai ke part tersebut, terpaksalah kami meng"ff" kannya.


Ketiganya, cubalah buat satu filem yang sedap kita dengar bila berbual. Supaya tidak kedengaran seperti betul-betul mengikut skrip. Mana ada orang berbual menggunakan nama sendiri sebagai menunjukkan diri dalam berbual. Contoh: "Bad tahu semua orang benci Bad", "Haq anggap Aina seperti adik Haq sendiri". Tak best langsung. Nampak sangat ikut skrip. Ubahlah seperti nama gelaran aku ker, abang ker, saya ker. Baru best.

Tengah-tengah tonton filem Haq ini, Arissa tertekan remote DVD. Dan terpadam. Dan kami tak ada niat pun nak tonton semula walaupun tak habis lagi.

Saturday, April 16, 2011

Satu hari lagi....

Alhamdulillah...........saya diberi sehari lagi untuk bernafas di muka bumi ini. Esok belum tentu saya masih bernafas lagi. Untuk itu saya perlu muhasabah diri dengan segala musibah yang akan mendatang. Akan segala kesenangan yang saya kecapi. Akan segala kemudahan yang dinikmati. Semuanya hanyalah bertujuan untuk menguji saya sebagai seorang manusia. Yang tentunya hanyalah seorang manusia yang lemah dan kerdil.

Pagi Sabtu yang ceria di hari ini kerana saya berkesempatan untuk bergolek lebih lama di atas katil. Ini kerana kebetulan minggu ini tiada program. Jadi pengisiannya hanyalah dirumah.

Sambil mengunyah jemput tepung yang dicicah dengan sambal sardin nyum...nyum....teringatkan emak di kampung. Apa lah khabarnya emak saya dikampung yer. Padahal baru semalam telefon. Rasa rindu pulak pada dia.

Kebetulan juga adinda saya, Kaktih menghadiri kursus kahwin di Nilai hari ini. Jadi sibuk sedikitlah mak saya di kedai kerana ketiadaan adik saya. Apa-apapun moga berjayalah Kaktih (macamlah ada periksa selepas kursus...ceh).

Mulanya kami bercadang hendak balik ke Kota Bharu. Balik kerumah ibu mertaku. Tapi sebab nak balik pada Labour day nanti, jadi di ubah pula hendak ke Cameron Highlands. Dan kesudahannya tak jadi, sebab hari ini rancang nak rehat-rehat sahaja di rumah.


Apa-apa pun hidup perlu diteruskan. Hati perlu dibersihkan. Jiwa perlu dimurnikan.

Friday, April 15, 2011

Berhati-hatilah menggunakan tuala wanita herba

Kepada semua wanita dinasihatkan agar berhati-hati menggunakan tuala wanita yang mempunyai herba. Kerana kesan sampingannya amat memeritkan terutama kepada yang berkulit sensitif. Produk ini amat popular di kalangan wanita hari ini. Ini kerana produk ini dikatakan mampu melancarkan perjalanan darah kotor yang keluar, mampu menarik dan mengeluarkan keputihan yang banyak. Termasuklah membantu wanita yang susah mendapat cahayamata.

Kejadian ini benar-benar berlaku. Dimana sepupu saya telah dimasukkan ke hospital akibat keradangan kerana memakai tuala wanita herba ini. Kesannya kulit bertukar menjadi kemerahan dan melecet. Amat sakit. Selain itu juga, kawasan tersebut semakin hari semakin membengkak. Ini membuatkan sepupu saya itu terpaksa bermalam di hospital. Sehingga ke hari ini (5 hari), dia masih tinggal di hospital untuk rawatan seterusnya. Sakitnya tidak terperi. Pedih. Sehinggakan dia tidak berani hendak makan makanan pejal seperti nasi. Kini dia cuma mengambil makanan pejal yang lembut seperti bubur.

Saya melihat peristiwa ini seperti pengajaran kepada kita. Saya pernah juga mencubanya. Cuma saya mencuba Panty Liner. Jadi kini saya tidaklah lagi berani mencuba tuala wanita herba pula. Mungkin ketika menggunakannya akan menimbulkan kesan panas akibat herba yang digunakan. Selain itu apabila panas akan berpeluh dan gatal. Mungkin ini satu daripada sebab lah agaknya.

Thursday, April 14, 2011

Mama, abang nak masuk final.......

Tadi sedang saya bersiap-siap untuk masak hidangan tengahari, anak sulung saya pun pulang dari sekolah.

Terus dia kata, "Mama, abang nak masuk final".
"Okeylah, kalau masuk final", kata saya.
"Tapi abang nak masuk final jugak" suara abang dah macam orang nak menangis.
"La....apsal lah pulak ni. Baguslah kalau dapat masuk final. Nak nangis apanya. Masuk final apa. pertandingan lari dalam guni ker,"kata saya lagi.
Saya malas nak layan. Sebab tengah sibuk siang ikan cencaru.
"Tadi dekat sekolah cikgu ada suruh abang lompat atas garisan tu. Tapi abang tak lepas" kata anak saya lagi.
Patut lah nak nangis. Tak lepas rupanya. Macamana nak masuk final kalau saringan pun tak lepas.
Saya kata lagi, "Bukan lompat atas garisanlah abang, tapi lompat jauh"
"Mama pergilah jumpa cikgu, kata kat dia abang nak masuk final", kata abang lagi.
Saya pun tambah, "Abang nak masuk final macamana, kalau tadi pun abang tak lepas. Takpelah, lain kali cuba lagi. Kalau cikgu dah pilih, mama mana boleh pandai-pandai ubah. Marah cikgu tu nanti. Lagi pun cikgu mesti pilih yang layak. Yang abang sedih sangat kenapa. Nanti ada pertandingan lain, abang masuk lah. Pertandingan kira kacang dalam botol ker, bola sepak ker."


Macamanalah anak saya tu nak hebat bersukan, mama dengan papa dia pun tak lepas sukan ni. Tambahan pula kalau acara balapan. Papa dia kalau futsal okeylah. Bab sukan lari-lari ni memang pancit.

Rekod sukan saya semasa sekolah juga taklah cantik. Kalau terpaksa masuk pun, saya lari sekerat jalan jer. Lepas tu pura-pura pengsan ker, jatuh ker, tak pun keluar jer dari padang. Tak larat nak kejar kawan-kawan India yang dah tentu kakinya halus dan panjang.

Wednesday, April 13, 2011

Nak kerja apa dik kalau setakat SPM pun tak ambik

Minggu lepas saya berkesempatan masuk ke Felda di sekitar Kuantan ini. Tujuannya adalah berkaitan dengan kerja lah. Saya sempatlah tinjau-tinjau dan kenyit-kenyit pada borang pendaftaran yang mengandungi butiran peribadi adik-adik ni. Rata-rata umur adik-adik ini sekitar 20 - 25 tahun. Muda-muda lagi (sebab saya dah lebih umur itu, jadi saya rasa tua lah).

Tapi bila meninjau ke tahap kelulusan mereka, amat mengecewakan. Kebanyakkannya adalah lepasan SPM. Malahan ada yang hanya lepasan PMR dan UPSR. Aduh.....keciwa sungguh. Umur muda lagi, tapi peperiksaan SPM pun ambil. Sayang sungguh. Kalau rasa tak boleh ambil SPM, sekurang-kurangnya ambillah SKM (Sijil Kemahiran Malaysia). Nak kerja apa di zaman ini jika hanya berbekalkan 3M iaitu pandai membaca, menulis dan mengira sahaja. Zaman ini sekurang-kurangnya mempunyai segulung sijil.

Jadi mereka ini akan melalui kitaran hidup ibubapa mereka lah. Ulang semula. Dimana mungkin 2-3 tahun lagi berkahwin. Kemudian ada anak-anak dan menjadi penunggu tetap di rumah (surirumah) atau sesekali membantu Sang Suami yang juga peneroka.

Sayangnya, dunia ini cukup luas untuk diterokai. Mengapalah memilih untuk hanya terperap di rumah atau di kebun. Bukan tujuan saya hendak menghina penduduk di Felda. Dan bukan semua masyarakat di felda yang tidak bijak. Malahan ramai rakan-rakan sesekolah saya dahulu dari Felda. Namun kini berkerjaya hebat. Memang lah kini harga sawit atau getah melambung. Tapi kalau dah semua dalam satu keluarga termasuklah mak ayah, adik beradik, anak-anak kita berharap pada satu pendapatan itu sahaja, tak boleh juga kan.

Untung nasib kita, kitalah yang akan tentukan. Jika memilih untuk susah dan mengulangi pekerjaan ibubapa kita, terpulang. Tiada siapa yang memaksa. Dan saya pasti tiada ibu bapa yang gembira anak-anaknya berhenti sekolah awal dari sepatutnya.

Ada rakan saya juga dahulu cuma mengambil SKM di sekolah teknik. Namun kini dia lebih hebat kerana telah bekerja dengan syarikat carigali di Port Dickson. Bayangkan seorang yang tak lulus PMR, namun berusaha mengubah diri dan kini lebih berjaya.

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...